SPRM Siasat Skandal Saham, Kerugian Dana Awam Cecah RM300 Juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM Siasat Skandal Saham, Kerugian Dana Awam Cecah RM300 Juta

KUALA LUMPUR 10 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kerugian dana awam yang dianggarkan melebihi RM300 juta susulan siasatan terhadap skandal urus niaga saham membabitkan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan.

 

Menurut sumber, siasatan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu turut melibatkan seorang pengerusi syarikat pegangan yang dipercayai bersubahat dengan beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat lain dalam urus niaga penjualan saham kepada institusi pelaburan terbabit.

 

Siasatan mendapati penilaian harga saham yang tidak munasabah dan tidak setimpal (overvaluation) dipercayai menjadi punca utama kerugian besar kepada dana awam berkenaan.

 

 

 

 

 

 

Sumber turut memaklumkan, siasatan turut membuka beberapa rangkaian transaksi yang disyaki mempunyai unsur penyelewengan sistematik termasuk aliran keluar masuk wang ke akaun luar negara.

 

 

 

 

 

 

10 saksi dirakam percakapan

Setakat ini, 10 saksi telah dirakam percakapan manakala tujuh lagi dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut.

 

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata siasatan kini memberi tumpuan kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta kemungkinan elemen pecah amanah jenayah.

 

Beliau turut menegaskan siasatan sedang diperluas bagi mengenal pasti elemen pengubahan wang haram yang berkaitan dengan transaksi berkenaan. — BERNAMA