SPRM siasat Kementerian Ekonomi berhubung perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM siasat Kementerian Ekonomi berhubung perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

PUTRAJAYA 27 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka siasatan berhubung satu perjanjian antara kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

 

Siasatan itu susulan beberapa aduan yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai perjanjian berkenaan yang didakwa dimeterai secara tergesa-gesa serta mengandungi terma yang dikatakan tidak menguntungkan sehingga berpotensi memberi kesan kepada kerajaan.

 

Menurut The New Straits Times yang memetik sumber, berdasarkan aduan dan dokumen yang dikemukakan oleh beberapa pihak, SPRM turut memperoleh dokumen berkaitan daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari lalu.

 

Sumber berkata, kes ini melibatkan dakwaan kebocoran dana kerajaan membabitkan peruntukan besar sebanyak RM1.1 bilion.

 

Maklumat awal mendapati cadangan tersebut tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), namun perjanjian itu didakwa dimuktamadkan secara tergesa-gesa.

 

Sumber berkata, perkara ini akan disahkan melalui rakaman keterangan saksi-saksi utama yang terlibat.

 

Konflik kepentingan dan pelantikan bekas pegawai jadi perhatian

Pada masa sama, beberapa individu didakwa dilantik ke jawatan kanan dalam syarikat berkenaan selepas meninggalkan kementerian terbabit. Perkara itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan dan memerlukan penelitian lanjut.

 

Tindakan seterusnya termasuk memanggil beberapa saksi, termasuk Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, bagi merakam keterangan berkaitan pelaksanaan perjanjian tersebut.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi NST mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

 

Difahamkan, SPRM sedang meneliti dokumen yang dikemukakan oleh tiga NGO berkaitan dakwaan melibatkan seorang bekas menteri.

 

Laporan tersebut difailkan pada 12 Februari oleh gabungan tiga NGO. - DagangNews.com