SPRM nafi dakwaan terbaharu Bloomberg, sifatkan tuduhan tidak berasas dan berniat jahat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM nafi dakwaan terbaharu Bloomberg, sifatkan tuduhan tidak berasas dan berniat jahat

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan yang diterbitkan sebuah media antarabangsa, menyifatkannya sebagai tidak berasas serta berniat jahat bertujuan mencemarkan reputasi agensi penguat kuasa itu.

 

Dalam kenyataan hari ini, SPRM menegaskan suruhanjaya itu tidak akan mengulas tuduhan yang bersifat spekulatif atau melibatkan perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah (sub judice).

 

“SPRM tidak akan mengulas dakwaan yang bersifat spekulatif atau melibatkan perkara yang sedang dalam proses perundangan,” menurut kenyataan itu.

 

Suruhanjaya tersebut turut menafikan sebarang dakwaan bahawa siasatannya dipengaruhi kepentingan peribadi, sambil menegaskan semua siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang, berasaskan bukti dan dilaksanakan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

 

Menurut SPRM, keputusan untuk mendakwa adalah tertakluk kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara serta mahkamah, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi teras sistem perundangan negara.

 

Sebagai agensi penguat kuasa, SPRM memaklumkan fungsi dan tanggungjawabnya diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan tertakluk kepada pemantauan lima badan bebas.

 

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya perlu dinilai menerusi saluran undang-undang dan proses sewajarnya.

 

SPRM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti berhubung rasuah atau salah laku supaya menyalurkannya melalui saluran rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang.

 

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan dakwaan terbaharu Bloomberg yang mendakwa SPRM, termasuk beberapa pegawai kanan, bersekongkol dengan ahli perniagaan lain untuk mengambil alih syarikat tertentu.

 

Laporan itu turut mendakwa sekumpulan ahli perniagaan menunjukkan minat terhadap syarikat yang disasarkan sebelum membuat aduan kepada SPRM, yang kemudiannya memulakan siasatan terhadap pengasas syarikat berkenaan.

 

SPRM kemudiannya didakwa memulakan siasatan terhadap pengasas syarikat berkenaan serta memberi tekanan yang kononnya membolehkan pihak pengadu memperoleh akses dan kawalan ke atas syarikat tersebut. - DagangNews.com