KUALA LUMPUR 26 Nov - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera ke atas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah.
Perdana Menteri berkata, siasatan perlu dilakukan tanpa sebarang campur tangan luar.
"Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu Perdana Menteri turut menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanannya dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau.
Semalam Shamsul Iskandar mengumumkan peletakkan jawatan susulan serangan dan tuduhan berterusan berkait pengeluaran surat sokongan kepada kontraktor dalam projek hospital.
Shamsul Iskandar berkata, beliau faham bahawa terdapat cubaan untuk menyerangnya yang boleh mencemarkan imej Kerajaan Madani.
Selain itu sejak semalam juga telah tular tuduhan-tuduhan baharu terhadap Shamsul Iskandar, yang didakwa meminta wang sehingga berjumlah RM600,000 daripada ahli perniagaan. - DagangNews.com








