SP Setia raih untung bersih RM89 juta pada 1QFY25 dipacu 68% jualan projek tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SP Setia raih untung bersih RM89 juta pada 1QFY25 dipacu 68% jualan projek tempatan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mei — SP Setia Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM89 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) dengan 68 peratus disumbangkan menerusi jualan daripada projek tempatan.


Kumpulan hartanah tersebut berkata, ia menggambarkan daya tahan kewangannya untuk dapat terus memberi nilai yang terbaik kepada para pemegang saham tetapi ia tidak mendedahkan perbandingan dengan tempoh sebelumnya.


Ia turut mencatatkan hasil yang berjumlah RM771 juta, dengan didorong oleh faktor kecekapan operasi dan pengurusan kos yang lebih berkesan.


"SP Setia turut mengurangkan pinjamannya sebanyak RM156 juta, dengan nisbah penggearan bersih sebanyak 0.35 kali, yang konsisten suku ke suku, selaras strategi pengurangan hutang," katanya dalam satu kenyataan.


Projek tempatan tambahnya, menyumbang sebanyak RM489 juta atau kira-kira 68 peratus daripada keseluruhan jualannya, manakala projek antarabangsa pula menjana RM229 juta atau 32 peratus daripada jualan tersebut.


Sebahagian besar jualan yang diperoleh SP Setia direkodkan dari wilayah tengah dengan RM284 juta, manakala wilayah selatan menyumbang sebanyak RM189 juta.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai berkata, prestasi kewangan pada 1QFY25 menekankan usaha berterusan, kegigihan dan strategi disesuaikan dengan keperluan serta keadaan pasaran semasa.

sp setia
CHOONG KAI WAH


Kumpulan itu kekal berwaspada ketika cabaran pasaran tidak menentu dan memantau perkembangan, menilai potensi kesan ke atas operasinya serta menilai strategi yang sesuai untuk mengurangkan sebarang kesan buruk.


“Walaupun begitu, kami akan terus memanfaatkan portfolio terpelbagai sambil mengoptimumkan kecekapan modal, dan mengembangkan kehadiran SP Setia yang merentas segmen pertumbuhan tinggi,” tambah beliau.


Selain itu juga katanya, kumpulan tersebut dijadualkan melancarkan lagi beberapa pembangunan hartanah yang bernilai RM5.1 bilion dan projek tapak perindustrian secara terancang berharga RM300 juta pada FY25. 


Syarikat itu turut akan terus mempercepatkan pembangunan perbandaran, taman eko-industri di samping perkongsian strategik, pengewangan tanah dan memanfaatkan penciptaan nilai merentasi koridor pertumbuhan utamanya.


Melangkah ke hadapan, SP Setia terus komited mencapai sasaran jualan RM4.8 bilion tahun ini, dengan memanfaatkan reputasinya sebagai salah satu pemaju perbandaran terancang dan mampan tersenarai di Malaysia.


Di peringkat global, ATLAS Melbourne yang dilancarkan baru-baru ini, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM2.7 bilion, telah menunjukkan momentum berterusan dalam sumbangan kepada keseluruhan jualan kumpulan.


Di Vietnam pula kata beliau, SP Setia bakal melancarkan projek kediaman baharu berikutan kejayaan pembangunan EcoLakes pada FY25.


Sehingga 31 Mac 2025, Kumpulan mempunyai senarai jualan yang belum dibilkan mencecah RM3.8 bilion, 42 projek yang sedang dijalankan dengan baki tanah seluas 2,170 hektar, dan baki GDV sebanyak RM120.1 bilion. - DagangNews.com