S&P Global Ratings kekalkan penarafan kredit kedaulatan Malaysia dengan prospek stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

S&P Global Ratings kekalkan penarafan kredit kedaulatan Malaysia dengan prospek stabil

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Sept – S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit kedaulatan Malaysia dengan prospek stabil, didorong prospek pertumbuhan ekonomi yang kukuh, penyatuan fiskal yang berterusan serta ekonomi yang pelbagai.

 

Agensi penarafan itu, dalam satu kenyataan, mengesahkan penarafan mata wang asing jangka panjang ‘A-’ dan jangka pendek ‘A-2’, serta penarafan mata wang tempatan jangka panjang ‘A’ dan jangka pendek ‘A-1’.

 

Penilaian pemindahan dan kebolehubahan (transfer and convertibility assessment) dikekalkan pada tahap ‘A+’.

 

S&P berkata halangan jangka pendek akibat ketidaktentuan aliran perdagangan global boleh memperlahankan pertumbuhan Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

 

Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan ekonomi kekal lebih baik berbanding kebanyakan negara berpendapatan setara, disokong oleh ekonomi yang pelbagai.

 

S&P berkata kestabilan politik yang berterusan menyokong persekitaran penggubalan dasar yang kondusif, sekali gus membolehkan penyatuan fiskal kerajaan secara beransur-ansur, sambil menegaskan kedudukan luaran Malaysia kekal sangat sensitif terhadap perkembangan dasar perdagangan global.

 

“Prospek stabil mencerminkan jangkaan kami bahawa momentum pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar sedia ada akan membolehkan penambahbaikan sederhana dalam prestasi fiskal sepanjang dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

 

Kemungkinan Turun Naik Penarafan

S&P berkata pihaknya mungkin menurunkan penarafan Malaysia sekiranya kadar pertumbuhan sebenar KDNK per kapita menurun ke tahap setara dengan negara sebanding, atau jika kestabilan politik melemah sehingga menjadikan proses penggubalan dasar jauh kurang dapat diramal.

 

Sebaliknya, penarafan boleh dinaikkan sekiranya hasil fiskal mengatasi unjuran, disokong oleh kestabilan politik berterusan dan pengurangan defisit secara mampan ke bawah 3% daripada KDNK.

 

S&P berkata, penurunan hutang bersih kerajaan ke bawah 60% daripada KDNK, atau bayaran faedah ke bawah 10% daripada hasil kerajaan, juga akan menimbulkan tekanan ke arah peningkatan penarafan.

 

“Kami juga boleh menaikkan penarafan jika kedudukan luaran Malaysia bertambah baik daripada tahap semasa, termasuk penurunan ketara nisbah keperluan pembiayaan luaran kasar berbanding hasil akaun semasa dan rizab guna pakai ke bawah 100% secara berterusan,” katanya.

 

Agensi itu berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia yang konsisten kukuh dan tahap fleksibiliti dasar monetari yang tinggi menyokong penarafannya. Di samping itu, kedudukan luaran negara adalah seimbang, dicirikan oleh lebihan akaun semasa yang sederhana serta asas eksport yang besar.

 

“Kami menjangka pertumbuhan Malaysia pada 2025 akan sederhana kepada 4.2%, selepas mencatatkan 5.1% pada 2024, apabila halangan perdagangan luar melemahkan momentum jangka pendek.

 

“Ekonomi Malaysia yang sangat berorientasikan perdagangan terdedah kepada kelembapan aliran perdagangan serantau dan global, serta kemungkinan pengurangan eksport susulan pengenaan tarif 19% terhadap beberapa barangan eksport ke AS sejak 7 Ogos 2025,” kata S&P.

 

Agensi penarafan itu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang purata 4.4% setahun sepanjang 2025–2028, sekali gus meningkatkan pertumbuhan KDNK per kapita purata wajaran 10 tahun kepada 3.3%, iaitu lebih tinggi daripada median global bagi negara berpendapatan setara.

 

Ia menganggarkan KDNK per kapita hampir mencecah AS$14,000 pada 2025, namun kekal di bawah kebanyakan negara dalam kategori penarafan sama.

 

Selain itu, S&P menjangka kerajaan Malaysia akan secara beransur-ansur mengurangkan defisit fiskal dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh pelarasan terhadap skim subsidi dan langkah hasil baharu.

 

Kerajaan bercadang untuk merasionalisasikan kerangka subsidi petrol, dan telah pun melaksanakan pembaharuan terhadap subsidi diesel, elektrik, air dan makanan.

 

Dari segi hasil, kerajaan telah memperluas rangka kerja cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada Julai 2025, merancang memperkenalkan cukai baharu ke atas pendapatan dividen, dan akan terus berusaha mengukuhkan pentadbiran dasar cukai semasa.

 

“Kami menjangka hutang bersih kerajaan am Malaysia akan meningkat purata 3.5% daripada KDNK setiap tahun sepanjang 2025–2028,” kata S&P. - DagangNews.com