Southern Score Builders tawar ambil alih baki 33% ekuiti Nova Pharma pada harga 37 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Score Builders tawar ambil alih baki 33% ekuiti Nova Pharma pada harga 37 sen sesaham

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Dis - Southern Score Builders Bhd (SSBB) telah melancarkan tawaran pengambilalihan wajib tanpa syarat untuk memperoleh semua baki saham Nova Pharma Solutions Bhd selepas memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 33.001% dalam syarikat itu.

 

SSBB telah menandatangani perjanjian jual beli saham bagi memperoleh 49.17 juta saham Nova Pharma Solutions Bhd daripada pemegang saham utama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Khoo Boo Wie pada harga RM18.19 juta atau 37 sen sesaham hari ini.

 

Pemerolehan ini telahpun diselesaikan, kata SSBB dalam pemakluman di Bursa Malaysia.

 

Susulan pemerolehan ini, SSBB diwajibkan untuk melanjutkan tawaran pengambilalihan wajib bagi memperoleh semua baki saham Nova Pharma yang belum dimiliki oleh syarikat dan pihak yang bertindak seiring dengannya, pada harga tawaran yang sama iaitu 37 sen sesaham.

 

Tawaran ini adalah tanpa syarat dan tidak tertakluk kepada sebarang tahap penerimaan minimum.

 

“Pemerolehan yang dicadangkan dijangka mewujudkan sinergi operasi dan teknikal melalui integrasi keupayaan pengurusan projek dan pembinaan berskala besar SSBB dengan kepakaran kejuruteraan dan pematuhan khusus daripada Kumpulan Nova Pharma,” kata SSBB.

 

SSBB menambah, langkah ini juga akan meluaskan asas pelanggannya serta mengukuhkan prospek pendapatan jangka panjang syarikat.

 

“Dengan jangkauan pelanggan yang lebih luas ini, dipadankan dengan kemampuan untuk melaksanakan projek kompleks bernilai tinggi, ia dijangka akan mengukuhkan kedudukan pasaran SSBB dan menyumbang secara positif kepada pendapatan jangka panjang syarikat.”

 

Sekiranya tiada sebarang halangan yang tidak dijangka, tawaran yang dicadangkan dijangka diselesaikan pada suku pertama 2026. - DagangNews.com