KUALA LUMPUR 25 Jun - Syarikat pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Berhad memperoleh pensijilan produk daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membekalkan kabel penghantaran bawah tanah berkapasiti tinggi.
Pensijilan TNB itu memperkukuh keupayaan Southern Cable bagi membekalkan kabel voltan tinggi (HV) dan memenuhi lonjakan permintaan daripada pembangunan pusat data di Malaysia.
Pensijilan terbaharu itu melibatkan kabel XLPE 132kV dengan konduktor Milliken sehingga 1,800 mm persegi, sekali gus meletakkan kumpulan berkenaan dalam kedudukan strategik untuk menyokong keperluan beban tinggi bagi pengembangan grid nasional.
Dengan kelulusan ini, Southern Cable kini memperluaskan pasaran boleh dicapainya, melangkaui status vendor TNB yang telah diperoleh sejak 2015 bagi bekalan kabel HV bawah tanah sehingga 800 mm persegi.
Seiring permintaan kukuh pasaran, jualan kabel HV kumpulan itu melonjak lebih 500% tahun ke tahun, melepasi RM100 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).
Pengarah Urusan Southern Cable Group Berhad, Tung Eng Hai berkata, pensijilan HV tersebut mengukuhkan rekod prestasi syarikat dalam menyokong pembangunan grid nasional serta meletakkan kumpulan itu antara pemain tempatan terpilih yang mampu membekalkan kabel berkapasiti tinggi bagi infrastruktur tenaga negara.
“Pensijilan ini mengukuhkan kedudukan kami dalam menyokong grid nasional serta meletakkan kami antara pemain domestik terpilih yang mampu membekalkan kabel berkapasiti tinggi untuk infrastruktur kuasa Malaysia,” katanya.

Kapasiti diperluas
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor grid kuasa, tenaga boleh baharu dan pusat data, pelan pengembangan kumpulan itu kini berada di landasan tepat untuk disiapkan antara 2026 dan 2027.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan huluan, relau aluminium baharu yang kini beroperasi telah menggandakan kapasiti rod kepada lebih 60,000 tan metrik setahun. Selain itu, fasiliti pengkompaunan plastik baharu akan mula beroperasi tahun ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan kecekapan kos.
Di bahagian hiliran, satu fasiliti tambahan dijangka siap menjelang akhir 2026, yang akan meningkatkan kapasiti kabel dan wayar kepada 60,000 kilometer setahun. Pada masa sama, barisan pengeluaran baharu bagi kabel voltan sederhana, tinggi dan ekstra tinggi akan dipasang pada 2026 dan 2027.
Syarikat turut memaklumkan trajektori pertumbuhannya disokong oleh buku tempahan kukuh berjumlah RM924.9 juta setakat 31 Mac 2026.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, pemegang saham turut meluluskan dividen akhir 1.83 sen sesaham. Termasuk dividen terdahulu 1.20 sen, jumlah dividen FY2025 ialah 3.03 sen sesaham, bersamaan RM32.8 juta. Nisbah pembayaran 25.0% itu melebihi dasar dividen kumpulan 15%. - DagangNews.com








