KUALA LUMPUR 21 Julai — Keuntungan Southern Cable Group Berhad berpotensi melonjak sehingga 25 peratus pada FY25 disokong kontrak Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), kata Apex Securities
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan berada pada kedudukan tepat bagi memperoleh pelbagai kontrak berkaitan projek rel itu yang dijangka bermula pada 2027 dan siap menjelang 2032.
Tambahnya, kumpulan tersebut berpeluang memenangi tender kabel termasuk sistem bekalan tenaga, isyarat dan kawalan, kerja berkaitan trek serta stesen yang dijangka melibatkan sebanyak 31 buah.
"Kami menjangka pakej MRT3 bernilai RM600 juta dan ia boleh menyumbang keuntungan kepada Southern Cable untuk meningkat 25 peratus pada FY25," kata Apex Securities dalam satu nota kajiannya.
Keyakinan firma tersebut berdasarkan kejayaan kumpulan berkenaan yang kukuh menerusi projek MRT2 dan berpotensi menguasai bahagian pasaran sebanyak 60 peratus dengan margin gabungan 15 peratus.
Perkembangan positif itu katanya, diramal memberikan peningkatan kepada keterlihatan pendapatan dalam jangka sederhana kerana pertumbuhan ketika ini dikekang oleh faktor kapasiti, bukannya permintaan.
Justeru, dengan permintaan yang melonjak didorong oleh banyak projek infrastruktur negara, pelaburan pusat data dan inisiatif peralihan tenaga, pengembangan kapasiti muncul sebagai tumpuan utama syarikat.
Apex Securities berpandangan, Southern Cable akan agresif melaksanakan pelan pengembangan kapasiti semasa dengan menyasarkan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 20 peratus dalam tempoh dua tahun lagi.
"Memandangkan jangkaan MRT3 dan projek infrastruktur mega lain seperti LRT Pulau Pinang, kami menyemak semula unjuran pendapatan masing-masing 9.5% dan 18.5% untuk FY26F dan FY27F," katanya.
Kumpulan itu namun tidak boleh terlalu bergantung kepada inisiatif kerajaan dan perlu berupaya untuk mendapatkan banyak kontrak baharu serta menangani peningkatan kos bahan mentah seperti keluli.
Berdasarkan situasi berkenaan, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan ramalan harga sasaran sesaham kepada RM2.14 berbanding RM1.72 sebelum ini. - DagangNews.com








