KUALA LUMPUR 3 Sept – Solarvest Holdings Bhd hari ini mengumumkan konsortium yang dianggotainya bersama Malakoff Corporation Bhd telah menerima Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) sebagai pembida berjaya bagi projek pembangunan Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik Berskala Besar (LSS) berkapasiti 470MWa.c. di Larut & Matang, Perak.
Dalam makuman kepada Bursa Malaysia, Solarvest berkata, konsortium tersebut terdiri daripada Malakoff (80%) dan Solarvest (20%), telah disenarai pendek selepas proses bidaan kompetitif di bawah tender LSS PETRA 5+ yang ditutup pada Februari lalu.
Katanya, di bawah terma projek, Solarvest dan Malakoff akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan menandatangani Perjanjian Jual Beli Tenaga Solar (SPPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh 21 tahun.
Surat pemberitahuan daripada ST turut menyenaraikan syarat-syarat mandatori yang perlu dipenuhi oleh konsortium sebelum pelaksanaan projek bermula.
Solarvest berkata, pembiayaan bagi projek ini akan dilaksanakan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
"Model kewangan akan melibatkan kombinasi hutang dan ekuiti," katanya.
Menurut Solarvest, projek ini dijangka tidak memberikan kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 memandangkan pembangunan dan pelaksanaan projek masih di peringkat awal.
Katanya, pengumuman ini mengukuhkan lagi kedudukan Solarvest sebagai pemain utama dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, selaras dengan agenda negara untuk mempercepatkan peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon.
Semalam Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan sebanyak 13 pemaju telah dipilih sebagai pemenang projek LSS5+ berdasarkan tawaran harga yang kompetitif serta pematuhan terhadap kriteria yang ditetapkan dalam dokumen permintaan cadangan (RFP).
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 37 permohonan telah diterima Suruhanjaya Tenaga (ST) terdiri daripada peserta individu dan konsortium, dengan jumlah kapasiti dicadangkan sebanyak 4,073MW, iaitu dua kali ganda daripada kuota yang ditawarkan.
Dalam pengumuman rasmi semalam, jumlah kapasiti yang diluluskan adalah sebanyak 1,975MW, dengan projek dijangka mula beroperasi bermula tahun 2027. - DagangNews.com








