KUALA LUMPUR 24 April - Saham Solarvest Holdings Bhd ditutup pada RM2.85, meningkat 8 sen atau 2.89%, selepas mencecah paras tertinggi intrahari RM2.93 pada sesi pagi susulan pengumuman kontrak terbesar syarikat itu sejak disenaraikan di Bursa Malaysia.
Kenaikan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan kumpulan berkenaan, khususnya selepas memperoleh kontrak loji solar bernilai RM1.1 bilion di Perak di bawah pusingan tambahan program solar berskala besar kelima (LSS5+).
Kontrak terbaharu itu menjadikan buku pesanan Solarvest meningkat ke paras rekod RM2.73 bilion, sekali gus memberi keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk tempoh kira-kira tiga tahun akan datang.
Firma penyelidikan Hong Leong Investment Bank dan Phillip Capital mengekalkan pandangan positif terhadap syarikat itu, dengan menyifatkan pemacu pertumbuhan struktur Solarvest masih kukuh disokong pelbagai inisiatif kerajaan yang menggalakkan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, harga modul solar yang semakin stabil dan rendah dijangka terus menyokong margin keuntungan kumpulan pada masa hadapan.
Solarvest terus menerima sokongan luas komuniti penyelidikan apabila 10 daripada 11 firma penyelidikan memberikan saranan beli, manakala hanya satu mengekalkan saranan pegang. Tiada firma yang meletakkan penarafan jual terhadap saham berkenaan.
Potensi pertumbuhan kekal kukuh
Purata harga sasaran bagi saham Solarvest ialah RM3.33, berdasarkan unjuran 11 penganalisis yang dipantau Bloomberg, menunjukkan masih terdapat potensi kenaikan berbanding harga penutup semasa.
Kontrak RM1.1 bilion yang diumumkan semalam merupakan kontrak pertama Solarvest bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY2027).
Phillip Capital menganggarkan projek itu mampu menyumbang kira-kira RM90 juta keuntungan sebelum cukai sepanjang tempoh pelaksanaan.
Lebih menarik, Solarvest turut bertindak sebagai pemilik aset bagi projek tersebut, yang dijangka menjana keuntungan selepas cukai berulang sekitar RM4 juta setahun sepanjang tempoh perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun.
Di bawah kontrak itu, Solarvest akan melaksanakan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi pembangunan loji solar berkapasiti 470 megawatt bersama kemudahan sambungan grid.
Projek berkenaan dijadualkan siap menjelang Februari 2028 dan menjadi kontrak tunggal terbesar pernah diraih Solarvest setakat ini, selain tersenarai antara loji solar utiliti terbesar di Asia Tenggara. - DagangNews.com








