KUALA LUMPUR 20 Feb - Solarvest Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 35% kepada RM14.4 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3QFY25) berbanding RM10.7 juta pada tahun lalu dipacu kemajuan beberapa projek solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
Kumpulan itu berkata, hasil bagi tempoh itu juga meningkat 20.4% kepada RM135.4 juta berbanding RM112.4 juta pada suku tahun sama tahun lalu.
"Peningkatan itu didorong margin yang lebih baik dalam segmen perniagaan komersial dan perindustrian, yang mendapat manfaat daripada harga panel solar yang lebih rendah, bersama-sama dengan sumbangan jualan elektrik daripada tiga loji LSS4 yang dimilikinya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY25) meningkat kepada RM31.4 juta berbanding RM24.5 juta disokong peningkatan hasil kepada RM312 juta berbanding RM395.7 juta pada 9MFY24.
Solarkan menjangkakan prospek positif untuk industri tenaga boleh diperbaharui (RE) didorong komitmen kerajaan meningkatkan kapasiti RE kepada 70% daripada campuran tenaga negara dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Katanya, sektor tenaga dijangka meningkatkan kapasiti RE mereka kepada 31% menjelang 2025 dan 40% menjelang 2035, dengan tenaga suria dijangka menjadi sumber RE yang dominan.
"Landskap RE Malaysia terus mendapat momentum dengan beberapa siri inisiatif baharu yang bertujuan mengembangkan tenaga solar dan kapasiti penyimpanan tenaga," katanya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan peluang baharu dan mengembangkan saluran projeknya.
"Selain itu, kami sedang giat mengejar prospek tambahan melalui buku tender kami, yang kini berada pada 7.71 gigawatt-puncak (GWp).
"Ia mencerminkan permintaan yang semakin meningkat merentasi pasaran domestik dan serantau. Dengan memanfaatkan kepakaran dan perkongsian strategik, kami menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kehadiran pasaran dan memacu pertumbuhan mampan dalam sektor RE," katanya.
Davis menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat untuk menyampaikan buku pesanan RM877 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan 2026, serta menukar buku tender yang diperluaskan, yang kini berjumlah 7.7GWp.
"Kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mengembangkan buku pesanan dengan peluang EPCC LSS5 dan pusingan bidaan LSS5+ yang akan datang," katanya. - DagangNews.com








