Solarvest berpotensi kuasai 50% pasaran projek solar berskala besar fasa kelima - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest berpotensi kuasai 50% pasaran projek solar berskala besar fasa kelima - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Prospek pertumbuhan Solarvest Holdings Berhad dijangka mampu menguasai separuh daripada pasaran projek solar berskala besar fasa kelima (LSS5), menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan pemaju infrastruktur tenaga boleh diperbaharui (RE) itu berpotensi mencecah bahagian tersebut berdasarkan kemajuan semasa yang positif ketika ini.

 

Tambahnya, syarikat berkenaan dilihat semakin stabil apabila sudah memperoleh sebanyak 30 peratus bahagian pasaran daripada keseluruhan jumlah kuota 2GWac ditetapkan melalui inisiatif projek LSS5.

 

"Kami jangka Solarvest dapat mengekalkan bahagian dalam LSS5+ disokong rekod prestasi pelaksanaan kukuh dalam siri LSS dan keupayaan pembidaan yang mantap," kata Phillip Capital dalam notanya.

 

Kumpulan itu tambahnya, kini sedang dalam rundingan aktif untuk memuktamadkan kontrak tambahan menjelang suku ketiga 2025, yang berpotensi meningkatkan bahagian pasarannya kepada kepada 50%.

 

Program LSS5+ yang akan datang kata firma berkenaan, dijangka menawarkan kuota 2GW lagi ke dalam pasaran, dengan penamatan bidaan dijangka menjelang 25 Julai 2025 sebelum bermula pada awal 2026.

 

Ini tambah Phillip Capital, termasuk projek LSS5 dan usaha niaganya di Brunei dengan kumpulan itu kini ada pelbagai aset solar sebanyak 334MWp, disasarkan beroperasi menjelang tahun kewangan 2028.

 

Bagaimanapun, firma tersebut memberi amaran mengenai kebimbangan Solarvest boleh berisiko terjejas disebabkan terutamanya oleh cabaran isu ketidaktentuan harga modul solar di pasaran semasa.

 

Kelemahan berkenaan katanya, dihadapi syarikat berkenaan sepanjang masa selain kelewatan dalam pelaksanaan projek dan persaingan pasaran semakin sengit dengan kemunculan banyak pemain baharu.

 

"Kami turut meramalkan cabaran jangka pendek seperti perubahan dasar kerajaan terhadap isu RE yang boleh berlaku, namun ia lebih bersifat sementara berbanding harga modul," kata Phillip Capital.

 

Justeru, firma itu mengubah unjuran pendapatan FY26 yang lebih rendah sebanyak satu peratus bagi mencerminkan garis masa yang disemak untuk sumbangan hasil daripada portfolio aset solarnya.

 

Berdasarkan situasi perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' tetapi dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM3.05 berbanding RM2.245 sebelumnya. - DagangNews.com