KUALA LUMPUR 31 Mei - Soalan Perlembagaan yang dirujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, tidak bertujuan mewujudkan kekebalan mutlak bagi mana-mana individu.
Sebaliknya, berdasarkan pemerhatian awal Jabatan Peguam Negara (AGC), lapan persoalan itu membangkitkan isu Perlembagaan yang baharu dan belum pernah diputuskan.
Ia khususnya yang berkaitan dengan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi eksekutifnya dengan berkesan.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC menjelaskan, lapan soalan terbabit, antara lain merangkumi sama ada tindakan sivil berkaitan perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir.
"Soalan juga mengenai sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seperti ini dan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan menyokong perlindungan prosedural bagi menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi.
"Ini adalah soalan struktur mengenai tadbir urus Perlembagaan, bukan soalan mengenai kekebalan peribadi. Proses rujukan Perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan yang muktamad terhadap isu sebegini," menurut AGC.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri pada minggu lalu memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan soalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.
Permohonan itu bertujuan menentukan jika dirinya sebagai Perdana Menteri, berhak mendapat kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Muhammad Yusoff Rawther.
Pada masa sama, tegas AGC, pihaknya menghormati integriti mekanisme Perlembagaan terbabit dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen berbaur politik.
AGC menegaskan, sebarang keputusan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan adalah terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, menurut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan. - DagangNews.com








