KUALA LUMPUR 10 Feb - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) meluluskan pembiayaan kira-kira RM3.6 bilion, naik 35.1% bagi tahun kewangan 2024 (FY24).
Bank it berkata, pembiayaan itu telah disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kurang diberi perhatian merentasi sektor utama.
“Ini termasuk perniagaan Bumiputera, teknologi dan penggunaan digital, syarikat berkaitan iklim serta industri makanan dan minuman halal serta pelancongan.
"Inisiatif ini selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata, bank itu komited untuk menyediakan pembiayaan dan memberi sokongan kewangan kepada PMKS sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI) yang dimilik penuh oleh Kementerian Kewangan dan diselia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Kami berbangga menjadi satu-satunya DFI yang menyediakan sokongan kewangan dengan program pembinaan keupayaan berstruktur yang memastikan daya tahan perniagaan jangka panjang.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk menggerakkan peruntukan RM1.7 bilion daripada Belanjawan 2024 yang menyasar untuk membangunkan PMKS,” katanya.
Mohammad Hardee seterusnya berkata, anak syarikat bank itu, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), telah dipilih untuk mengendalikan Pusat Kecemerlangan Asean untuk PMKS dalam peralihan hijau.
Beliau berkata, Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan kini merupakan badan serantau yang penting untuk membantu perniagaan kecil di Asia Tenggara mengamalkan amalan hijau, terutamanya apabila Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN pada 2025.
Sementara itu, SME Bank berkata, ia akan melanjutkan pembiayaan dan sokongan luar pembiayaannya dengan memberi penekanan kepada rangkuman kewangan kepada PKS merentasi sektor utama, termasuk perusahaan Bumiputera dan semua segmen yang berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Katanya, keutamaan strategik ini bertujuan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara, menguatkan momentum positif yang dicapai oleh bank itu pada 2024.- DagangNews.com








