Skandal Mafia Korporat: Ramanan nafi dirinya `Mr R' yang didakwa Victor Chin dibayar RM9.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skandal Mafia Korporat: Ramanan nafi dirinya `Mr R' yang didakwa Victor Chin dibayar RM9.5 juta

KUALA LUMPUR 25 Mac - Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri R Ramanan menafikan terbabit dalam dakwaan kononnya beliau terlibat dalam komplot untuk menyelesaikan skandal "mafia korporat", dengan menegaskan bahawa beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat tersenarai.

 

Ramanan turut mencabar ahli perniagaan kontroversial, Victor Chin, untuk menamakan Ahli Parlimen yang didakwa menerima pembayaran RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkenaan.

 

“Hanya Chin yang boleh menjawab siapa Mr R. Tetapi saya sedar ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya dengan perkara ini.

 

 

 

 

“Nampaknya, jutaan saham didakwa dipindahkan kepada saya. Saya tidak memegang sebarang saham awam – sifar,” katanya.

 

Ramanan berkata demikian pada sidang media khas di pusat perkhidmatannya di Sungai Buloh hari ini, sambil menegaskan beliau tidak percaya mana-mana Ahli Parlimen yang waras akan memindahkan jutaan saham.

 

Beliau menambah, sebarang transaksi saham yang melibatkan Ahli Parlimen pastinya akan dikesan sebagai mencurigakan oleh institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

 

 

 

 

 

Dakwaan itu timbul selepas Chin, yang juga dikenali sebagai Chin Boon Loong, mengemukakan dokumen sepanjang 40 muka surat yang memaparkan garis masa kejadian.

 

Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen Pakatan meminta RM10 juta untuk menyelesaikan isu tersebut, walaupun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada awalnya. - DagangNews.com