Skala Serantau, Disiplin Operasi Pacu Strategi ‘Beyond Insurance’ Tune Protect | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skala Serantau, Disiplin Operasi Pacu Strategi ‘Beyond Insurance’ Tune Protect

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 April - Kejayaan Tune Protect pada 2025 disokong oleh kehadiran serantau yang kukuh serta disiplin operasi yang mantap, sekali gus membolehkan pertumbuhan cekap dari segi penggunaan modal dan pengenalan aliran pendapatan baharu yang strategik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Tune Protect Group Berhad, How Kim Lian berkata strategi serantau syarikat membolehkan operasi berkembang secara mampan tanpa perlu membina infrastruktur fizikal yang berat.

 

 

 

 

 

 

“Kami memanfaatkan kapasiti penjaminan risiko tempatan di samping menyediakan capaian pengedaran yang meluas, penyusunan produk yang bersesuaian serta integrasi teknologi,” katanya kepada DagangNews.

 

 

How Kim Lian
How Kim Lian

 

Tune Protect kini beroperasi di lebih 30 negara, dengan kerjasama bersama 56 rakan insurans, 80 rakan gabungan, lebih 2,000 perantara dan lebih 1,500 ejen pelancongan global.

 

Seiring strategi pertumbuhan 2025, syarikat turut menambah lima pasaran B2B baharu termasuk Kuwait, Zambia, Sri Lanka, Pakistan dan Kenya.

 

Disiplin operasi terus menjadi teras utama kumpulan. How berkata, syarikat berjaya mencapai penjimatan kos tahunan sebanyak 3.9% sambil terus melabur dalam automasi dan infrastruktur digital.

 

“Portal One-Claim di Asia dan Timur Tengah serta integrasi API yang dipercepat — lebih 300 juta API diproses pada 2025 — telah meningkatkan masa tindak balas, memperkukuh pengalaman pelanggan dan mengekalkan kawalan kos,” katanya.

 

Penjimatan Kos dan Kecekapan Digital

“Pertumbuhan adalah penting, tetapi disiplin pelaksanaan yang menukarkan pertumbuhan kepada keuntungan mampan menjadi fokus utama,” tambahnya.

 

Di luar insurans tradisional, Tune Protect turut memperkukuh aliran pendapatan melalui produk sampingan dan yuran teknologi.

 

Menurut How, pendapatan daripada segmen ini meningkat lebih enam kali ganda, menyumbang lebih RM20 juta kepada pendapatan baharu.

 

“Ini menempatkan kami sebagai insurtech yang sebati dalam platform digital pelancongan, bukan sekadar penanggung insurans tradisional,” katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan menyepadukan perlindungan ke dalam aliran tempahan penerbangan, platform pelancongan dalam talian dan ekosistem digital menjadikan insurans sebagai sebahagian daripada perjalanan pelanggan, bukan sekadar pelengkap transaksi.

 

“Pendekatan ini memperkukuh ketahanan pendapatan dan sejajar dengan tingkah laku pengguna masa kini yang mengutamakan pengalaman digital yang mudah dan menyeluruh,” katanya.


 

solar

 

Fokus 2026: Tiga Keutamaan Strategik

Bagi 2026, How menyenaraikan tiga keutamaan strategik kumpulan.

 

Pertama, penjaminan risiko yang disiplin dengan fokus kepada segmen menguntungkan serta pengurusan tuntutan yang berhemah.

 

Kedua, menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 20% melalui pengukuhan kehadiran dalam segmen pelancongan dan kebakaran.

 

 

 

 

 

 

 

Ketiga, pembezaan ekosistem dengan memperluas tawaran ‘Beyond Insurance’, memperkukuh kepakaran menegak serta meningkatkan integrasi perkongsian dalam insurans terbina dalam.

 

“Dengan tiga tonggak ini, Tune Protect berada pada kedudukan untuk menangkap peluang pendapatan baharu, memperluas capaian pelanggan dan membina ketahanan jangka panjang, sambil terus mengembangkan skala serantau dan menyepadukan insurans dalam perjalanan pelanggan,” katanya. - DagangNews.com