Siti Khadijah perluas kehadiran strategik bersama MAHB sempena penerbangan haji pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siti Khadijah perluas kehadiran strategik bersama MAHB sempena penerbangan haji pertama

Mohammad Munzir Aminuddin menyampaikan Hajj Kit kepada seorang daripada jemaah haji di KLIA pada 18 April 2026
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 April - Siti Khadijah memperluaskan kehadiran strategiknya bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi kerjasama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersempena penerbangan Haji pertama bagi musim 1447H/2026M.

 

Kerjasama ini memperkukuh kedudukan jenama Siti Khadijah di pintu masuk antarabangsa utama negara, sekali gus menandakan penglibatan strategik dalam ekosistem perjalanan jemaah Haji di KLIA.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, Siti Khadijah turut menyertai Majlis Pelepasan Jemaah Haji bagi musim 1447H/2026M, yang menyaksikan keberangkatan kumpulan pertama jemaah Malaysia ke Tanah Suci pada 18 April lalu.

 

Seramai 284 jemaah berlepas dari KLIA Terminal 1 pada jam 4.05 pagi menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH8050 sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pada jam 7.50 pagi waktu tempatan pada hari yang sama. Kumpulan tersebut terdiri daripada jemaah dari Alor Setar dan Movenpick Sepang.

 

Dalam majlis tersebut, Siti Khadijah menyantuni para jemaah melalui pengagihan Hajj Kit di pintu pelepasan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin, serta Pengurus Kanan Pengurusan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Hazelin Ghaus.

 

Inisiatif ini bukan sahaja memberi sokongan kepada para jemaah, tetapi turut mencerminkan penghargaan terhadap perjalanan mereka sebagai tetamu Allah yang memulakan ibadah Haji pada musim ini.


 

solar

 


Menurut Mohammad Munzir, Ketua Pegawai Eksekutif Enda Group Sdn Bhd yang merupakan syarikat induk Siti Khadijah, penglibatan ini mencerminkan komitmen jenama dalam mendekati komuniti melalui pendekatan yang bermakna dan berasaskan pengalaman.

 

“Bagi kami di Siti Khadijah, peluang untuk berada di permulaan perjalanan jemaah ke Tanah Suci adalah satu penghormatan yang besar. Inisiatif ini bukan sekadar aktivasi jenama, tetapi usaha untuk bersama-sama mengiringi dan menyokong jemaah pada detik paling bermakna dalam kehidupan mereka,” katanya.

 

Majlis pelepasan jemaah Haji itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, serta wakil kerajaan dan pihak berkepentingan yang bersama-sama mengiringi keberangkatan kumpulan pertama jemaah Malaysia ke Tanah Suci. 

 

Melalui kerjasama ini, Siti Khadijah terus komited memperkukuh peranannya sebagai jenama yang bukan sahaja memenuhi keperluan ibadah, tetapi turut menyokong perjalanan bermakna dalam pelbagai fasa kehidupan pelanggan. - DagangNews.com