KUALA LUMPUR 31 Julai — Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi peringatan keras kepada kerajaan terhadap risiko beban kewangan sistem tol terbuka Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan bahawa pelaksanaan kutipan tol tersebut seharusnya tidak mengenakan apa-apa tekanan kewangan kepada kerajaan atau pengguna lebuh raya.
Beliau merujuk kepada contoh sebelum ini apabila projek, yang pada mulanya dibentangkan sebagai kos neutral, akhirnya memerlukan bayaran daripada kerajaan yang besar kepada syarikat konsesi.
"Semua keputusan mengenai MLFF, atau mana-mana sistem tol, mesti ada manfaat ketara dan membantu menangani kesesakan dengan berkesan, tanpa mengulangi kegagalan lalu," katanya dalam kenyataan.
Sistem itu direka menggantikan kutipan tol berasaskan pondok di 33 lebuh raya di negara ini dengan palang dilengkapi teknologi pengenalan frekuensi radio dan pengecaman plat nombor automatik.
Kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa MLFF, dianggarkan menelan perbelanjaan lebih RM3 bilion untuk dilaksanakan di seluruh Malaysia, bertujuan untuk menjadi neutral kos terhadap kerajaan.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, sistem itu dijangka tidak akan menyebabkan sebarang kenaikan tol kepada pengguna lebuh raya dengan dikekalkan kadar sedia ada.
Kos neutral ini berikutan penjimatan dibuat oleh syarikat konsesi lebuh raya daripada pengurangan penyelenggaraan, gaji pekerja dan penggunaan elektrik di plaza tol sejurus MLFF dilaksanakan.
Dalam pada itu, PAC juga memberi amaran, walaupun sistem ini boleh mengurangkan kesesakan di plaza tol, ia tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang lebih meluas di lebuh raya.
Ia berpendapat, isu kesesakan sebahagian besarnya berpunca daripada lorong yang tidak mencukupi dan jumlah kenderaan terlalu tinggi di laluan kritikal, bukannya hanya kelewatan di pondok tol.
Di sebalik kebimbangan masalah lalu lintas yang lebih luas itu, Mas Ermieyati menggesa Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya terus mengambil tindakan dengan segera.
Usaha berkenaan tambahnya, adalah perlu bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem kutipan tol semasa ketika sistem MLFF sedang dimuktamadkan dan dilaksanakan syarikat konsesi.
Jawatankuasa itu juga telah meminta kemas kini bertulis daripada Kementerian Kerja Raya mengenai hala tuju dan kemajuan projek MLFF untuk rujukan dan pengawasan PAC. - DagangNews.com








