Sistem perbankan kekal utuh pada Oktober, ringgit terus stabil – BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sistem perbankan kekal utuh pada Oktober, ringgit terus stabil – BNM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Nov — Sistem perbankan Malaysia terus mempamerkan keteguhan pada Oktober 2025 apabila Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan penampan mudah tunai yang selesa serta kualiti aset yang stabil, meskipun keadaan luar jangka global kekal mencabar.

 

BNM dalam laporan sorotan bulanannya berkata, liquidity coverage ratio sektor perbankan kekal kukuh pada 147.5%, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing stabil pada 1.4% dan 0.9%.

 

Liputan kerugian pinjaman juga berada pada paras berhemat 126.4%, mencerminkan keupayaan bank untuk menyerap sebarang kejutan ekonomi yang mungkin timbul.

 

Dari segi pembiayaan, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.7%, disokong pertumbuhan pinjaman mampan dalam kalangan perniagaan dan isi rumah.

 

Pinjaman perniagaan meningkat 5.5%, dipacu permintaan modal kerja lebih tinggi oleh syarikat bukan PKS, manakala pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7%.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat sederhana kepada 5.8% berbanding 7.3% pada September.

 

BNM turut memaklumkan bahawa inflasi keseluruhan turun sedikit kepada 1.3% daripada 1.5%, didorong penurunan kos elektrik berikutan rebat serta harga bahan api yang lebih rendah.

 

Inflasi teras pula meningkat kecil kepada 2.2%, berikutan hilangnya kesan asas tahun lalu dalam perkhidmatan komunikasi mudah alih — bukan kerana tekanan permintaan baharu.

 

Di peringkat luaran, perdagangan Malaysia terus memberikan rangsangan positif. Eksport melonjak 15.7%, ditunjangi pertumbuhan kukuh 26.5% dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

 

Import pula meningkat 11.2%, sebahagian besarnya didorong pembelian barang modal berkaitan pelaburan pusat data. Lebihan dagangan kekal kukuh pada RM19 bilion, sedikit rendah berbanding RM20.2 bilion pada bulan sebelumnya.

 

BNM berkata, pasaran kewangan global sepanjang Oktober dipengaruhi jangkaan pengurangan kadar dasar Rizab Persekutuan AS (Fed), yang akhirnya diumumkan pada akhir bulan tersebut.

 

Ringgit mengukuh 0.5% berbanding dolar AS, manakala hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun naik tipis empat mata asas. Sementara itu, FBM KLCI susut 0.2%, seiring pengambilan untung oleh pelabur bukan pemastautin. - DagangNews.com