KUALA LUMPUR 3 Feb - SIRIM QAS International Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Md Adha Rahmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara, berikutan persaraan Nur Fadhilah Muhammad pada 28 Januari 2025.
SIRIM QAS, sebuah badan ujian, pemeriksaan dan pensijilan yang berpusat di Malaysia, merupakan anak syarikat milik penuh kumpulan SIRIM.
Menurut SIRIM QAS, Md Adha mempunyai pengalaman lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang pensijilan, pemeriksaan dan pengurusan kualiti.
"Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar Kanan di Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan, memainkan peranan penting dalam menyelaraskan digitalisasi ke dalam operasi syarikat, meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan pelanggan," jelas syarikat dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau juga mengetuai pembangunan Pensijilan Sistem Pengurusan ESG SIRIM 55, satu inisiatif utama yang menyokong perniagaan dalam memenuhi piawaian kelestarian global serta aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Sebagai seorang graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Arizona, Md Adha pernah memegang beberapa peranan kepimpinan dalam SIRIM QAS, mengawasi operasi dan pematuhan peraturan.
"Pendekatannya yang berorientasikan masa depan akan memastikan SIRIM QAS terus berada di barisan hadapan industri, bersedia untuk menyesuaikan diri dengan trend baharu dan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global," jelas SIRIM QAS.
Di bawah kepimpinan Md Adha, organisasi itu percaya ia akan terus menetapkan standard baharu kualiti dan mengekalkan reputasinya sebagai syarikat yang dipercayai oleh pelanggan di seluruh dunia. - DagangNews.com








