KUALA LUMPUR 21 Feb - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), melancarkan Siri Jelajah MIDF 2025 dengan tema Meneroka Daya Saing Global: Perniagaan Masa Depan dan Halal.
Pada siri jelajah tersebut, MIDF memperkenalkan dua inisiatif strategik utama iaitu Pembiayaan Masa Depan (FRF) dan Penambahbaikan Teknologi Akreditasi Halal (HATI) yang bertujuan mempercepat daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Program FRF, dengan peruntukan pembiayaan RM200 juta, adalah inisiatif yang direka untuk membantu PKS Malaysia dalam sektor pembuatan dalam mengguna pakai automasi dan teknologi industri 4.0.
Melalui kerjasama strategik dengan MIDF, MTDC, SIRIM dan penyedia teknologi terkemuka, PKS akan memperoleh akses kepada rumusan canggih dengan kos permulaan yang minimum.
Dengan had pembiayaan maksimum RM20 juta setiap pelanggan, program FRF bertujuan untuk mendorong peralihan besar dalam sektor PKS Malaysia menjelang 2027.
Ia dijangka menyokong 100 PKS dalam perjalanan digital mereka, menukar 100 kilang tradisional kepada kilang pintar, mewujudkan 500 pekerjaan berkemahiran tinggi melalui pendigitalan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sebanyak 10% dan membangunkan 100 bakat teknologi tempatan serta syarikat permulaan, sekali gus memupuk ekosistem industri yang lebih berdaya saing dan berdikari.
Dengan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan yang disertakan dengan sijil halal yang semakin meningkat, Malaysia sedang memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab halal utama melalui program HATI.
Dengan pembiayaan RM100 juta, HATI menyediakan sokongan kewangan penting untuk pematuhan pensijilan halal, pembangunan kemudahan, pemerolehan peralatan, serta program latihan dan pembangunan kapasiti, membolehkan perniagaan mengembangkan kehadiran mereka di pasaran halal yang berkembang pesat.
Dengan had pembiayaan maksimum RM5 juta setiap pelanggan, HATI akan memainkan peranan penting dalam membantu PKS menembusi pasaran halal dan mengembangkan pasaran global.
Dengan kerjasama bersama Halal Development Corporation (HDC), inisiatif berkenaan menyediakan pelan yang berstruktur meliputi latihan pra-pensijilan, sokongan permohonan dan pemantauan pasca-pensijilan untuk memastikan kelestarian dan pematuhan jangka panjang.
Pengerusi MIDF, Tan Sri Rahman Mamat menekankan peranan penting kemajuan teknologi, automasi dan peluasan industri halal dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi global.
Menurut beliau, inisiatif-inisiatif itu lebih daripada sekadar pembiayaan, ia adalah sebahagian daripada visi strategik untuk membina ekosistem PKS yang lebih berdaya tahan, menyeluruh dan berdaya cipta.
"Dengan sokongan MIDF, MBSB dan rakan kongsi yang dihormati, PKS kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk merebut peluang baharu, berinovasi, dan mengembangkan jejak mereka di seluruh dunia.
"Kami menggesa semua PKS untuk merebut peluang ini dan membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada majlis perasmian Siri Jelajah MIDF 2025, di sini, semalam, seperti laporan The Sun.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Agung (1) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Datuk Hanafi Sakri.
Siri Jelajah MIDF 2025 adalah bukti komitmen kukuh Malaysia dalam mempersiapkan industri-industri negara dengan sumber daya yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
Ia akan diteruskan di pelbagai negeri di Malaysia untuk memastikan PKS di seluruh negara dapat mengakses program-program yang ditawarkan. - DagangNews.com








