Singapura buka pejabat konsulat di Sarawak, kukuhkan hubungan dua hala | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Singapura buka pejabat konsulat di Sarawak, kukuhkan hubungan dua hala

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 4 Dis - Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sarawak selepas menerima kelulusan rasmi daripada Putrajaya, menjadikannya konsulat pertama republik itu di Malaysia Timur.

 

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 yang berlangsung di republik berkenaan.

 

Menurut Wong, pembukaan konsulat itu akan membolehkan Singapura menawarkan sokongan konsular kepada rakyatnya yang menetap di Sarawak, di samping mengukuhkan hubungan erat yang sudah terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Ini membolehkan kami menyediakan sokongan konsular kepada warga Singapura yang tinggal di sana dan seterusnya memperkukuh hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

 

Cadangan penubuhan konsulat itu pertama kali dibincangkan pada pemukiman pemimpin sebelumnya di Putrajaya pada Januari lalu.

 

Pada ketika itu, kedua-dua negara mengeluarkan kenyataan bersama mengenai hasrat Singapura, namun kelulusan rasmi belum diberikan.

 

 

 

 

 

 

 

Ketika ini, Singapura mengendalikan dua misi diplomatik di Malaysia — Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur dan Konsulat di Johor Bahru, yang ditubuhkan pada tahun 2009.

 

Pembukaan konsulat baharu di Sarawak dijangka memperkukuh lagi jaringan diplomatik serta memudahkan urusan dua hala, terutama bagi aktiviti perdagangan, pelaburan dan mobiliti rakyat. - DagangNews.com