Sin-Kung Airways pilih AeroDarat sebagai rakan pengendalian darat selama tiga tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sin-Kung Airways pilih AeroDarat sebagai rakan pengendalian darat selama tiga tahun

Alan Ong (dua kanan) berkata pemilihan AeroDarat mencerminkan komitmen Sin-Kung untuk menyokong pembangunan ekosistem penerbangan negara dan menepati standard kelas dunia.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Okt – Sin-Kung Logistics Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Sin-Kung Airways Sdn Bhd, melantik AeroDarat Sdn Bhd sebagai rakan strategik bagi menyediakan perkhidmatan pengendalian darat di lapangan terbang utama seluruh negara.

 

AeroDarat, yang merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group Sdn Bhd (MAG), akan menyelia operasi darat untuk Sin-Kung Airways di Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Labuan, Tawau, Sandakan dan Pulau Pinang, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berfungsi sebagai lokasi sokongan alternatif.

 

Kerjasama selama tiga tahun ini merangkumi pengendalian darat dan kargo sepenuhnya, termasuk operasi di landasan, kawalan muatan, operasi penerbangan, pengendalian kargo dan mel, serta sokongan teknikal berkaitan. 

 

Semua perkhidmatan akan dijalankan mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

 

Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong, berkata kerjasama ini membolehkan syarikat memanfaatkan infrastruktur dan tenaga kerja mahir AeroDarat untuk mencapai masa pusing balik yang lebih singkat, kecekapan operasi darat yang lebih tinggi dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang konsisten.

 

“Apabila rangkaian Sin-Kung Airways terus berkembang, mengekalkan kecemerlangan operasi di darat adalah penting bagi memastikan tahap keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan yang diharapkan pelanggan,” katanya.

 

Tambah beliau, pemilihan AeroDarat – salah satu penyedia perkhidmatan pengendalian darat paling berpengalaman di Malaysia – mencerminkan komitmen Sin-Kung untuk menyokong pembangunan ekosistem penerbangan negara dan menepati standard kelas dunia. - DagangNews.com