Siling subsidi RON95 sehingga 300 liter sebulan ditetapkan berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siling subsidi RON95 sehingga 300 liter sebulan ditetapkan berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept - Siling kelayakan subsidi RON95 sehingga 300 liter sebulan ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian Jabatan Perangkaan mendapati lebih 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini dalam penggunaan bulanan mereka.

 

anwar ron

 

"Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka," kata Perdana Menteri dalam kenyataan mengumumkan berita gembira mengenai penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter hari ini.

 

Bermula 27 September ini, kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis akan menjadi kumpulan pertama menerima subsidi BUDI95 yang melayakkan mereka membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.

 

Pada 28 September 2025, sistem BUDI95 dibuka pula kepada penerima Skim Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40, dan pada 30 September 2025, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

 

Pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.

 

Madani ron

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil langkah untuk memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95 dengan antaranya: 

 

• Pertama, tiada pendaftaran diperlukan;

 

• Kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi; dan

 

• Ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.

 

“Kerajaan MADANI telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.

 

Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter. - DagangNews.com