Sidang Kemuncak ASEAN dijangka bawa pelaburan RM300 bilion, dagangan cecah RM3.8 trilion - IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sidang Kemuncak ASEAN dijangka bawa pelaburan RM300 bilion, dagangan cecah RM3.8 trilion - IQI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Mei — Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara yang bermula dengan mesyuarat pegawai kanan esok dijangka membawa kesan limpahan pelaburan langsung asing (FDI) lebih RM300 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Juwai IQI. 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersamanya, Kashif Ansari berkata, selain itu, jumlah dagangan Malaysia dengan negara-negara serantau turut diramal meningkat secara ketara, mencecah kepada kira-kira RM3.869 trilion menjelang 2027.  


Katanya, unjuran nilai berkenaan berdasarkan pelbagai perjanjian yang akan terhasil sepanjang persidangan itu di ibu negara apabila ramai pemimpin Asia Tenggara berhimpun membincangkan pelbagai isu terutama berkaitan perdagangan dan ekonomi.


"Persidangan sebegini dijangka menggalakkan perniagaan rentas sempadan antara sekarang hingga 2030 dan kami berpendapat, ramai pemimpin industri antarabangsa akan hadir memerhati acara ini dengan cukup teliti," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau dalam nada optimis berkata, banyak pemeteraian perjanjian berpotensi boleh membantu Malaysia menjadi lebih makmur menjelang 2030 termasuk pasaran hartanah dan amat penting bagi ASEAN bekerjasama erat menghadapi cabaran rumit global.


"Setakat data hari ini, kami melihat tiga bidang utama penambahbaikan dapat diraih Sidang Kemuncak yang boleh meningkatkan ekonomi Malaysia iaitu integrasi serantau, perpaduan ASEAN dalam perdagangan sejagat dan isu FDI," tambah Kashif.


Perubahan dalam tiga bidang ini kata beliau, diterjemahkan pula kepada nilai yang mencecah ratusan bilion ringgit melibatkan jaminan perdagangan dan kestabilan modal pelaburan masuk tambahan kepada Malaysia pada tahun-tahun akan datang.


Beliau memberi contoh pelaksanaan integrasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bermula awal 2025 yang menurut unjuran kerajaan, boleh menyumbang sebanyak RM110.9 bilion kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia setiap tahun menjelang 2030.


"Lokasi ini sahaja bakal mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir dan menarik sekurang-kurangnya 50 projek pelaburan baharu, malah proses penyepaduan merentasi seluruh ASEAN dapat meningkatkan jumlah dagangan Malaysia dengan begitu ketara," katanya.


Antaranya jelas Kashif, eksport Malaysia mampu mencapai paras tertinggi sepanjang masa dengan unjuran kepada RM2.133 trilion dalam volum tahunan menjelang 2030 dan ini akan menghasilkan lebih banyak pekerjaan serta gaji ditawarkan semakin tinggi. 


Selain itu katanya, limpahan ekonomi tersebut mempunyai kesan besar kepada pasaran hartanah Malaysia dan berdasarkan analisis IQI, aliran masuk FDI sepanjang tempoh ini menjana sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam aktiviti hartanah yang baharu.


"Ia termasuk taman perindustrian, pusat komersial, hab logistik dan pembangunan perumahan dengan anggaran ini berdasarkan nisbah lima peratus konservatif melibatkan FDI sebanyak RM300 bilion diunjurkan menjelang 2030," kata beliau. - DagangNews.com