KUALA LUMPUR 20 Jan – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap IJM Corp berpotensi merumitkan proses tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway, sekali gus meningkatkan risiko pelaksanaan dan kelewatan terhadap urus niaga berkenaan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan laporan media siasatan tersebut dikaitkan dengan dakwaan manipulasi harga saham, yang boleh menjejaskan kelancaran proses pengambilalihan sekiranya memerlukan penelitian lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Pandangan kami bahawa siasatan SPRM pasti akan menambah tahap penelitian dan ketidaktentuan terhadap cadangan pengambilalihan itu, namun kami juga ingin nyatakan iaitu siasatan masih berada pada peringkat awal dan setakat ini tiada pertuduhan rasmi difailkan terhadap mana-mana pihak terlibat.
“Selaras dengan prinsip undang-undang bahawa seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung hasil siasatan ini,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, MBSB bersetuju perkembangan terbaharu ini dijangka terus memberi tekanan terhadap sentimen pasaran ke atas saham IJM dalam jangka pendek, sehingga siasatan tersebut diselesaikan dan kejelasan lanjut diperoleh.
BERITA BRRKAITAN: IJM sahkan pegawai SPRM, LHDN hadir ke pejabat dapatkan maklumat
Menurut firma itu lagi, isu dakwaan salah laku ini bukan baharu malah pernah dibangkitkan pada Mac 2025, namun pihak pengurusan ketika itu telah menafikannya dengan tegas serta melaporkan maklumat tidak tepat berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Tambah MBSB, semasa sesi taklimat bersama pelabur tahun lalu, pengurusan IJM turut menegaskan komitmen syarikat terhadap tadbir urus korporat yang ketat serta amalan ketelusan yang tinggi.
"Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada dakwaan terdahulu tersebut mempunyai kaitan dengan siasatan terkini yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya.
Berhubung penilaian, MBSB Research mengekalkan saranan 'terima tawaran' terhadap IJM dengan nilai saksama berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOTP) pada RM3.29, meskipun sentimen terhadap saham syarikat itu dijangka kekal tertekan susulan siasatan berterusan oleh pihak berkuasa.
Dari segi unjuran kewangan pula, MBSB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan kumpulan dan mengekalkan nilai saksama SOTP pada RM3.29, mencerminkan keyakinan terhadap asas perniagaan IJM dalam jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com








