KUALA LUMPUR 24 Jun – Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini mengumumkan pelantikan Sharul Sazman Samaan sebagai Ketua Pegawai Perniagaan (CBO) baharu berkuat kuasa 20 Jun 2025.
MDV merupakan firma modal teroka di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang memberi tumpuan kepada pembiayaan syarikat dalam sektor teknologi.
Sharul sebelum ini telah memegang jawatan sebagai pemangku CBO sejak Disember 2024 dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembiayaan, termasuk 17 tahun bersama MDV.
Beliau memulakan kerjayanya di Bank Islam Malaysia Bhd dan merupakan graduan Ijazah Kepujian Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara.
Sejak menyertai MDV pada 2008, Sharul telah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama termasuk Penolong Naib Presiden Kanan bahagian perniagaan, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, dan terbaru sebagai Naib Presiden Kanan Liputan Pelanggan.
Sebagai CBO, beliau akan mengetuai strategi dan operasi perniagaan MDV merangkumi liputan pelanggan, kredit serta pembiayaan modal teroka. Beliau juga akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran dan kerjasama MDV di sektor awam dan swasta.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi dalam satu kenyataan berkata, pelantikan ini mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan Sharul dalam menerajui hala tuju strategik MDV serta menyokong ekosistem pembiayaan teknologi negara. - DagangNews.com








