KUALA LUMPUR 3 Mac – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memaklumkan pihaknya memantau rapat perkembangan konflik di Timur Tengah, namun setakat ini tiada kesan langsung terhadap operasi syarikat di rantau berkenaan.
Dalam maklum balas e-mel kepada pertanyaan media, PETRONAS berkata tiada laporan diterima mengenai ancaman langsung terhadap kakitangan atau asetnya dan operasi berjalan seperti biasa.
“Pada masa ini, tiada laporan mengenai sebarang ancaman langsung terhadap kakitangan atau aset PETRONAS dan operasi diteruskan seperti biasa,” kata syarikat itu lapor Bloomberg.
Syarikat minyak dan gas negara itu menegaskan kebajikan kakitangan yang menyokong operasi di rantau tersebut menjadi keutamaan, di samping langkah berterusan untuk melindungi aset serta memastikan kesinambungan perniagaan.
Menurut PETRONAS, pihaknya turut menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menilai situasi yang sedang berkembang dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.
PETRONAS sebelum ini memenangi konsesi penerokaan minyak dan gas di Abu Dhabi dan turut aktif di beberapa negara teluk.
Serangan Amerika Syarikat dan rejim zionis Israel ke atas Iran menyaksikan Iran bertindak balas dengan menyerang aset-aset AS di sekitar Timur Tengah menyebabkan timbul kebimbangan serantau.
Perkembangan itu berlaku ketika pasaran global memantau rapat ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi mempengaruhi harga minyak mentah dan rantaian bekalan tenaga antarabangsa.








