KUALA LUMPUR 2 Mac - Ketegangan geopolitik di Timur Tengah meningkat selepas serangan AS-Israel ke atas Iran hujung minggu lalu, namun penilaian awal menunjukkan impak terhadap saham Malaysia dijangka terhad, menurut Maybank Investment Bank.
Walaupun sentimen pasaran mungkin mencatat reaksi negatif sekiranya keadaan bertambah buruk, kesan terhadap syarikat tersenarai di Malaysia masih terkawal, ujar bank pelaburan tersebut dalam nota penyelidikan hari ini.
Hanya segelintir syarikat dibawah pemantauannya, mempunyai pendedahan langsung ke rantau itu. DXN, contohnya, menjana kira-kira 10% daripada pendapatannya melalui operasi di Dubai, termasuk kilang pembuatan dan sebuah apartmen di Burj Khalifa.
Bahagian takaful semula MNRB pula memperoleh sekitar 2-3% daripada jumlah premium kasar kumpulan (GWP) daripada rantau MENA, manakala Wasco mengendalikan tapak fabrikasi di Dubai dan kemudahan salutan paip di Qatar.
Kepentingan MLK dalam konsesi kuasa dan air di Arab Saudi, Oman dan Bahrain menyumbang sekitar 25-30% daripada pendapatan normalisasi, walaupun konsesi terbesar, Shuaibah di Arab Saudi, akan ditamatkan pada 2027.
Sementara itu, AirAsia X terpaksa membatalkan sementara penerbangan ke Riyadh, namun ia hanya melibatkan kurang 1% daripada pendapatan. IHH Healthcare turut mempunyai pendedahan serantau, dengan Turkiye menyumbang 30% daripada jumlah pendapatan.
Pasaran minyak dijangka mencatatkan turun naik jangka pendek
Iran, pengeluar kira-kira 3% minyak dunia dan pengeluar ketiga terbesar OPEC, bagaimanapun, bekalan dijangka dapat diringankan melalui peningkatan output sederhana yang dipersetujui OPEC+.
Selat Hormuz, laluan transit kritikal bagi lebih 20% minyak global, dilaporkan telah ditutup, sekali gus mendorong pihak berkuasa Malaysia menasihati syarikat perkapalan tempatan supaya menyemak semula laluan pelayaran.
Westports berpotensi menjadi penerima manfaat sekiranya volum transshipment dialihkan ke hab alternatif di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Meskipun perkembangan ini, penganalisis menekankan kepentingan fokus kepada sektor berorientasikan domestik, termasuk perbankan, pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.
Keputusan kewangan 4QFY2025
Semakan awal Maybank terhadap keputusan korporat 4Q/FY25 menunjukkan nisbah 76:24 antara syarikat yang mencapai atau melebihi jangkaan berbanding yang mengecewakan.
Dalam kalangan saham komponan KLCI, bank mendahului dengan 78% melaporkan keputusan selaras jangkaan.
Maybank turut menurunkan CIMB dan PMAH daripada senarai pilihan utama, menjadikannya HOLD daripada BUY susulan pergerakan harga saham terkini.
Pelabur dinasihatkan mengekalkan fokus domestik berikutan keadaan geopolitik yang masih tidak menentu, kerana pasaran Malaysia secara amnya dilihat masih terlindung daripada gangguan besar serta-merta, kata Maybank IB. - DagangNews.com








