Seorang pemilik ekuiti Metro Healthcare memegang seunit saham menolak usul ambil alih RMC Specialist | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Seorang pemilik ekuiti Metro Healthcare memegang seunit saham menolak usul ambil alih RMC Specialist

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb — Hanya seorang pemilik ekuiti yang memegang satu unit saham menolak usul Metro Healthcare Berhad mengambil alih keseluruhan 100% kepentingan dalam RMC Specialist Sdn Bhd.


Tentunya, cadangan tunggal berkenaan tetap diluluskan secara hampir sebulat suara oleh kesemua pemegang saham yang lain pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan penjagaan kesihatan itu.


Syarikat yang ditubuhkan pada 2010 itu memaklumkan yang resolusi bagi cadangan pengambilalihan 100,000 saham biasa dalam RMC Specialist berjaya diluluskan melalui undian secara pungutan suara.


"Ia melibatkan pembelian kesemua 100,000 saham biasa dengan nilai pertimbangan RM320,000 daripada Dr Tay Swi Peng @ Tee Swi Peng," kata Metro Healthcare dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.


Daripada keseluruhan undian itu, seramai 33 pemilik ekuiti yang mewakili 80.72 juta saham mengundi menyokong resolusi berkenaan, manakala cuma seorang pemilik ekuiti dengan satu saham menentang.


Bagaimanapun, nama satu-satunya individu yang bangkit membantah usaha syarikat tersebut untuk membeli RMC Specialist dan alasan beliau yang menolak resolusi biasa berkenaan tidak pula didedahkan.


Kumpulan tersebut yang menjadi syarikat awam sejak 2011 sebelum disenaraikan di Pasaran Leap pada 2018 berkata, keputusan undian itu disahkan oleh pemerhati bebas yang dilantik oleh pihak pengurusannya.


EGM tersebut berlangsung pada 4 Februari 2026, di Hotel Premiere, Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor, berikutan pengumuman syarikat itu mengenai pengambilalihan RMC Specialist pada 13 Januari 2026.


Cadangan pembelian itu tambahnya, namun tertakluk kepada syarat-syarat dalam perjanjian jual beli saham (SSA) bertarikh 23 Oktober 2025 serta kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan. - DagangNews.com