KUALA LUMPUR 15 Julai — Ketegangan perdagangan global dikhuatiri boleh mengakibatkan sentimen perniagaan di Malaysia pada tempoh suku kedua tahun ini sebagai kekal lemah, kata RAM Berhad.
Firma penyelidikan tersebut berkata, sektor itu kekal pesimis untuk suku kedua berturut-turut, terutama disebabkan isu ketidaktentuan antarabangsa daripada pelaksanaan dasar tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Dua pertiga daripada 33 firma yang ditinjaunya antara 29 Mei hingga 28 Jun 2025, menjangkakan tarif timbal balik itu bakal menjejaskan perniagaan mereka, dengan 27 peratus melihat kesannya sebagai besar.
"Jualan dan rekod hasil perolehan dijangka adalah paling teruk terancam, diikuti oleh margin keuntungan, rantaian bekalan dan aliran tunai semasa," kata RAM menerusi laporan yang disiarkannya hari ini.
Tambahnya, sebagai langkah jangkah pendek untuk mengatasi isu berkenaan, sebanyak 42 peratus daripada syarikat terpaksa memotong kos operasi, dan 39 peratus melaraskan harga agar kekal berdaya saing.
Tinjauan RAM tersebut turut menunjukkan situasi sentimen perniagaan yang lebih lemah itu berlaku secara luas dalam tiga bidang utama iaitu penjualan, pelaburan modal dan penggunaan kapasiti.
Kos perniagaan yang meningkat menjadi kebimbangan utama 80% responden manakala isu utama lain termasuk persaingan kukuh dan ekonomi yang lemah (63%), serta gangguan rantaian bekalan (40%).
"Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) diterbitkan RAM turun kepada hanya 40 pada suku kedua 2025 berbanding 41.1 pada suku pertama. Skor di bawah 50 itu menandakan sentimen negatif," katanya.
Selain itu tambahnya, pemain perniagaan meminta supaya lebih banyak bantuan daripada kerajaan, terutamanya dalam usaha mereka meningkatkan akses kepada pembiayaan dan modal pusingan kerja.
Katanya, terdapat juga permintaan yang kukuh untuk inisiatif berbentuk geran dan subsidi secara langsung untuk membantu dalam mengurangkan kesan ketegangan perdagangan global yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif RAM, Chris Lee Wai Kit berkata, walaupun perniagaan kekal berhati-hati, tetapi adalah menggalakkan untuk melihat bahawa syarikat masih melabur dan mengambil pekerja.
"Justeru penting bagi pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan industri bekerjasama untuk bertindak balas terhadap cabaran baharu agar perniagaan hidup dan berkembang maju," katanya. - DagangNews.com








