KUALA LUMPUR 30 Julai — Perolehan Bursa Malaysia Berhad diunjurkan bertambah baik pada tempoh separuh kedua tahun ini, didorong sentimen pasaran yang semakin pulih, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, ia turut disokong jangkaan lantunan semula dalam purata nilai harian (ADV) dan keterlihatan dasar daripada rundingan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Walaupun prestasi masih lemah, ia menyatakan bahawa keputusan secara am adalah dalam jangkaan, memenuhi 47.3 peratus daripada ramalan penuh FY25 dan 45.5 peratus daripada anggaran konsensus.
"Kami menjangkakan hasil meningkat pada 2H25F, disokong pemulihan ADV apabila sentimen pasaran stabil dan kejelasan dasar muncul daripada rundingan tarif yang berjalan," kata CIMB Securities.
Semalam Bursa Malaysia melaporkan keuntungan bersih suku kedua 2025 sebanyak RM57.1 juta, penurunan suku ke suku (QoQ) sebanyak 16.6 peratus didorong terutama ADV dan purata kontrak harian.
Kedua-dua faktor tersebut masing-masing mencatatkan kejatuhan 15.0 peratus dan 10.1 peratus QoQ, ditambah pula dengan peningkatan sebanyak 7.5 peratus QoQ dalam kos kakitangan kumpulan tersebut.
Perkembangan berkenaan menyebabkan keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi tempoh separuh pertama 2025 (1H25) berjumlah RM125.5 juta, mencerminkan penurunan 19.3 peratus tahun ke tahun (YoY).
Sementara itu, CIMB Securities menyatakan bahawa dividen sesaham (DPS) sebanyak 14 sen telah diisytiharkan, yang memberikan gambaran kepada nisbah pembayaran tinggi kira-kira 90.3 peratus.
Perkara tersebut menurut firma penyelidikan berkenaan, adalah sejajar dengan ramalan untuk DPS tahun penuhnya sebanyak 31.1 sen.
"Kami menjangkakan prospek pembayaran dividen yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini, selaras dengan unjuran pendapatan kami yang bertambah baik pada 2H25," tambahnya.
Berdasarkan perkembangan itu, CIMB Securities telah mengekalkan penarafan 'pegang' ke atas Bursa Malaysia, dengan harga sasaran juga tidak berubah sebanyak RM7.40 sesaham. - DagangNews.com








