AS sendiri tiada pengganti produk berasaskan minyak sawit Malaysia, kata Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AS sendiri tiada pengganti produk berasaskan minyak sawit Malaysia, kata Johari

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Julai — Kesan tarif baharu 25 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas produk Malaysia akan dibebankan ke atas pengguna negara itu, terutamanya bagi barangan tiada alternatif.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antaranya minyak sawit kerana ia tidak boleh diganti oleh minyak kacang soya sendiri yang tidak boleh diproses menjadi oleo kimia.

 

Sebaliknya beliau menekankan, produk berasaskan sawit itu ialah sebahagian daripada sejumlah RM186 bilion eksport Malaysia ke seluruh dunia dengan hanya kira-kira RM20 bilion pergi ke pasaran AS.

 

"Kami turut mengeksport produk getah seperti sarung tangan getah, produk kayu termasuk perabot, oleo kimia daripada minyak sawit, serta koko dan coklat. Saya melihat ini bukan lagi isu persaingan.

 

"Jika mereka mengenakan kami 25 peratus, akhirnya rakyat AS yang akan membayarnya balik," kata Johari kepada pemberita selepas Taklimat Minyak Sawit dan Sesi Dialog Industri, di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan tarif bermula 1 Ogos 2025 itu, beliau berkata, dengan hampir 190 negara di dunia, Malaysia tidak seharusnya berkecil hati dikenakan tarif dari satu negara.

 

Malahan tegas beliau, syarikat perladangan di negara ini mesti kekal fleksibel dan responsif terhadap sebarang perubahan dinamik perdagangan antarabangsa yang sering berubah setiap masa.

 

Beliau menambah, persaingan global kekal sengit dalam kategori seperti sarung tangan dan perabot, tetapi menyatakan bahawa produk Malaysia masih menonjol melalui reka bentuk unik dan mutunya.

 

"Untuk sarung tangan getah, ya, bukan kami sahaja yang buat. China dan Vietnam juga ada tetapi tarif mereka lebih tinggi daripada kami. Jadi kami perlu bersaing dan kami juga mesti lawan balik.

 

"Negara lain juga buat perabot, begitu juga kita. Tapi kalau sebut mengenai perabot, selalunya dibeli berdasarkan reka bentuk. Kalau kita ada reka bentuk bagus, orang beli," katanya. - DagangNews.com