Semakan semula SST langkah tepat kukuhkan kewangan negara - CTIM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Semakan semula SST langkah tepat kukuhkan kewangan negara - CTIM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jun – Langkah kerajaan menyemak semula kadar Cukai Jualan dan Per­khidmatan (SST) disifatkan sebagai tindakan yang tepat pada masanya dan selari dengan trend global. 

 

Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), Soh Lian Seng berkata, pendekatan itu membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara tanpa membebankan pembayar cukai secara langsung.

 

"Sistem SST yang lebih menyeluruh ini adalah langkah bijak untuk menambah pendapatan negara, lebih-lebih lagi Malaysia kini banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, langkah tersebut juga membantu mengelakkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini, sambil terus menjaga kebajikan rakyat.

 

Lian Seng berkata, CTIM menyokong usaha kerajaan memperluas cukai kepada lebih banyak sektor seperti sewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan, kerana ia menunjukkan pendekatan yang praktikal dan mampan.

 

Beliau turut memuji tindakan kerajaan mengeluarkan perintah warta bersama pengumuman itu kerana ia membantu menjelaskan peraturan dan memudahkan syarikat membuat persiapan sebelum pelaksanaan pada 1 Julai 2025.

 

Bagaimanapun, CTIM sedar syarikat yang terlibat mungkin menghadapi kekangan masa untuk mendaftar atau mengemas kini sistem. 

 

Sehubungan itu, Lian Seng menggesa kerajaan menyediakan bantuan praktikal seperti talian hotline, e-mel atau khidmat sembang masa nyata (live chat) oleh pegawai berpengalaman bagi mengelakkan masalah pematuhan.

 

"CTIM menggesa kerajaan menyediakan saluran bantuan khas bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar dan soalan berbangkit dari syarikat dijawab dengan segera," ujarnya.

 

Walaupun garis panduan dan peraturan sementara telah dikeluarkan, CTIM menjangka masih akan ada cabaran semasa pelaksanaan. 

 

Oleh itu, CTIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas yang membina.

 

"Kami sedia membantu menjelaskan inisiatif kerajaan dan mencadangkan penambahbaikan dari semasa ke semasa," kata Lian Seng.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semalam mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan secara bersasar serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan bermula 1 Julai 2025.

 

Barangan terpilih dan bukan keperluan akan dikenakan cukai jualan antara 5% hingga 10%.

 

Barangan keperluan seperti hasil pertanian segar, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan akan terus dikecualikan daripada cukai.

 

Sementara itu, barangan mewah seperti ketam raja, buah import, cendawan truffle, minyak pati dan kain sutera akan dikenakan cukai 5%. 

 

Barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik pula dikenakan cukai 10%. - DagangNews.com