KUALA LUMPUR 17 Okt – G Capital Bhd (GCap) menerusi anak syarikat milik 51%, G Capital Water Solutions Sdn Bhd dilantik sebagai pakar air tidak berhasil (NRW) Program Pengurangan NRW Kelantan Fasa 2 membabitkan nilai kontrak RM648,000.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GCAP memberitahu telah menerima Surat Anugerah (LO) bagi pelantikan itu daripada Senie Associates Sdn. Bhd.
"Sebagai kontraktor utama, Senie telah melantik GCAP Water Solutions sebagai pakar NRW yang dinamakan dengan nilai kontrak berjumlah RM648,000," katanya dalam kenyataan itu.
Menurut GCap, projek tersebut dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan akan dilaksanakan selama lima tahun bermula pada 17 Oktober 2025.
Skop kerja G Capital Water Solutions merangkumi ujian pengukuran aliran air, pemodelan kebocoran dan hidraulik, Audit NRW dan penilaian sebelum dan selepas penggantian paip.
“Projek ini dijangka akan menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan, namun tidak memberikan kesan material ke atas aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” menurut GCap dalam kenyataan tersebut.
Sebelum ini GCap juga telah dilantik sebagai pakar bagi projek Program Pengurangan NRW Negeri Perlis – Fasa 1 membabitkan nilai kontrak berjumlah RM300,000.
Projek di Perlis itu telah bermula 1 Oktober 2025 dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun. - DagangNews.com








