Selepas meraih 3 kontrak di Selangor, ITMAX dijangka menang banyak lagi di Johor – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selepas meraih 3 kontrak di Selangor, ITMAX dijangka menang banyak lagi di Johor – HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept – ITMAX System Bhd berpotensi untuk meraih lebih banyak kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT), terutamanya di negeri Johor, susulan pelaksanaan dasar sistem tunggal oleh kerajaan negeri, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Dalam nota penyelidikan, HLIB berkata dasar tersebut menetapkan hanya satu vendor dibenarkan untuk mengurus sistem CCTV, lampu isyarat pintar dan parkir pintar di setiap PBT, sekali gus membuka laluan kepada ITMAX untuk mengukuhkan kedudukannya di negeri berkenaan.

 

“Setakat ini, ITMAX telah memenangi kontrak parkir pintar bagi 7 daripada 16 PBT di Johor,” katanya.

 

Di Selangor, HLIB memaklumkan bahawa syarikat Rantaian Mesra telah dilantik oleh Menteri Besar Selangor Inc (MBI) untuk menerajui Fasa 1 program Selangor Intelligent Parking (SIP), melibatkan empat PBT iaitu: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

 

Daripada jumlah itu, hanya MPSJ (Subang Jaya) masih belum melantik operator parkir pintar.

 

HLIB menjangka fasa seterusnya, iaitu SIP Fasa 2, akan memberi peluang pertumbuhan baharu kepada pemain industri. Fasa itu merangkumi lapan PBT lain di Selangor yang kini diuruskan oleh penyedia sedia ada, dengan kontrak semasa dijangka tamat pada separuh pertama tahun 2026 (1H26).

 

Kontrak Baharu Selmax di Selayang

 

Pada Selasa lalu, ITMAX menerusi anak syarikat milik 70%-nya, Selmax Sdn Bhd, mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak sistem parkir selama 10 tahun daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

 

Kontrak ini merupakan projek parkir pintar ketiga ITMAX di Selangor, mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dalam pasaran negeri berkenaan.

 

Menurut HLIB, MBSA sahaja mengurus kira-kira 16,000 petak parkir, dan secara keseluruhan, ITMAX kini mengurus sekitar 116,000 petak parkir di Selangor, hampir dua kali ganda berbanding 60,000 petak yang dikendalikan di Johor.

 

Unjuran Pendapatan dan Kesan Kewangan

 

Berdasarkan pengiraan kasar oleh HLIB, dengan kadar penggunaan 40% sepanjang 10.5 jam operasi harian (8 pagi hingga 6.30 petang), purata penggunaan dijangka sekitar 4.2 jam sehari.

 

“Jika diambil kira kadar caj sebanyak RM0.50 sejam bagi 16,000 petak, pendapatan bulanan dijangka sekitar RM728,000, bersamaan RM8.7 juta setahun.

 

“Dengan struktur perkongsian hasil 40/10/50, ITMAX dijangka menerima kira-kira RM3.5 juta setahun. Dengan margin keuntungan 40%, ini boleh meningkatkan keuntungan bersih selepas kepentingan minoriti sebanyak RM1.4 juta setahun,” jelas HLIB.

 

Susulan perkembangan ini, HLIB telah menaikkan unjuran pendapatan ITMAX bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dan 2027 (FY27) masing-masing sebanyak 12% dan 15%, bagi memasukkan sumbangan segmen parkir pintar.

 

HLIB mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham ITMAX dan telah menaikkan harga sasaran kepada RM5.71 daripada RM5.17 sebelum ini, berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) menggunakan kadar purata wajaran kos modal (WACC) sebanyak 7.0% dan kadar pertumbuhan terminal sebanyak 3%.

 

“Kadar pertumbuhan ini mencerminkan potensi jangka panjang dalam pelaksanaan sistem CCTV di seluruh negara, disokong oleh inisiatif pendigitalan nasional dan pembangunan bandar pintar,” ujar HLIB.

 

Sebagai perbandingan, ITMAX kini melaksanakan pemasangan 10,000 unit CCTV untuk DBKL, berbanding 90,000 unit di Singapura, yang menyasarkan peningkatan kepada 200,000 unit menjelang 2030. - DagangNews.com