SelBiz 2025 sasar tarik 40,000 pengunjung, nilai jualan RM4 juta - MB Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SelBiz 2025 sasar tarik 40,000 pengunjung, nilai jualan RM4 juta - MB Selangor

AMIRUDIN Shari (tiga dari kanan) ketika merasmikan program BizMatch Mega 2025 anjuran PKNS di Shah Alam hari ini. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Julai — Ekspo Usahawan Selangor atau SelBiz 2025 dijangka mampu menarik lebih daripada 40,000 pengunjung dengan jumlah transaksi jualan disasar melepasi sebanyak RM4 juta.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran tersebut tidak mustahil mampu dicapai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memasuki edisi keempat pada tahun ini.

 

Tahun lepas katanya, acara tersebut berjaya menarik 36,518 pengunjung dengan nilai urus niaga jualan mencecah RM3.55 juta menerusi sejumlah 200 reruai yang meliputi empat kategori perniagaan.

 

"Kali ini kerajaan negeri yakin mampu mencatatkan angka yang lebih baik walaupun 176 reruai ditawarkan di Shah Alam Convention Centre (SACC)," katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam, hari ini.

 

MB
AMIRUDIN Shari berucap merasmikan program BizMatch Mega 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus

 

Terdahulu, Amirudin merasmikan program BizMatch Mega 2025 anjuran PKNS yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas dan disertai kira-kira 1,500 usahawan dari negeri itu.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, SelBiz 2025 akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 28 November 2025 dengan tema 'Usahawan Cekap Digital' yang juga melibatkan penyertaan 40 agensi.

 

Program tahunan itu tambahnya, antara inisiatif PKNS bagi memberi peluang luas kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan jaringan serta penerokaan peluang pasaran.

 

"Justeru, PKNS aktif mengadakan banyak program bermula awal tahun lagi termasuk BizMatch Mega 2025 yang memasuki tahun ketiga penganjuran sebagai usaha promosi berterusan," kata Amirudin.

 

PKNS
SEBAHAGIAN usahawan yang hadir pada perasmian program BizMatch Mega 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus

 

Beliau turut memuji PKNS yang sudah berjaya melahirkan lebih 10,000 usahawan dengan dikenali sebagai alumni sejak penubuhannya pada 1964 menerusi pelbagai skim dan insentif tertentu.

 

Selain itu tambahnya, agensi berkenaan antara beberapa perbadanan kemajuan negeri di Malaysia yang begitu konsisten dalam membantu dan membimbing usahawan melalui program mentor mentee.

 

PKNS kata Amirudin, bukan sekadar memenuhi tanggungjawabnya dalam isu perbandaran sebagai badan berkanun negeri selaras Enakmen PKNS 1964, malah menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi rakyat.

 

"Hari ini PKNS juga terlibat dalam transformasi peniaga PKS ke arah pendigitalan dan kita berharap acara sebegini terus memacu ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif serta mampan," katanya.

 

pkns
RERUAI Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) antara tumpuan ramai usahawan yang hadir pada perasmian program BizMatch Mega 2025 di Shah Alam hari ini. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus

 

Di samping itu, beliau mengajak bakal usahawan yang tidak mampu mengembangkan perniagaan disebabkan isu kekangan modal, agar menjadikan program anjuran PKNS bagi mendapatkan bantuan.

 

Amirudin menambah, banyak agensi awam yang menawarkan pembiayaan tertentu namun kurang disedari peniaga terbabit apabila mereka terus kekal dalam perniagaan secara skala kecil-kecilan.

 

Katanya, PKNS sendiri sedia menolong memastikan usahawan itu dapat maju bermula daripada gerai jalanan kepada kedai dan akhirnya mampu menyewa di kompleks beli-belah. - DagangNews.com