Selangor Aero Park jadi pemangkin industri aeroangkasa negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selangor Aero Park jadi pemangkin industri aeroangkasa negara

(Dari kiri) : Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani, Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, Menteri Besar Selangor, Datuk Sri Amirudin Shari, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi MAHB, Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Datuk Saipolyazan M. Yusop.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Jun – Selangor Aero Park seluas 81 hektar di KLIA Aeropolis dilancarkan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama ASEAN dalam kargo udara, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta pembuatan aeroangkasa berteknologi tinggi.

 

Pembangunan itu adalah usaha sama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dalam fasa pertama daripada keseluruhan pelan seluas 243 hektar yang akan dibangunkan secara berperingkat.

 

Fasa awal seluas 81 hektar kini dibuka kepada pelabur, manakala baki 162 hektar akan disediakan secara progresif selepas 2028 bergantung kepada kesediaan infrastruktur dan permintaan pasaran.

 

Pengerusi Malaysia Airports, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, pembukaan Aero Park akan memperkukuhkan KLIA sebagai hab logistik dan penerbangan serantau.

 

“Ini menjadi pemangkin kepada pembangunan KLIA Aeropolis sebagai hab penerbangan dan logistik yang dinamik, membuka peluang meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan industri dan rantau.

 

“Perjanjian pajakan selama 99 tahun dengan kerajaan Persekutuan sejak 2022 memberikan jaminan keselamatan pelaburan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Sri Amirudin Shari berkata, Selangor kini menjadi pusat 68% aktiviti aeroangkasa nasional dan sasaran ditetapkan naik kepada 73% menjelang 2030.

 

“Taman ini bakal menempatkan rantaian nilai aeroangkasa termasuk avionik, sistem pendorongan, elektronik bernilai tinggi, dan logistik bersepadu.

 

“Selangor Aero Park turut menjadi platform bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke dalam rantaian bekalan global dengan sokongan pensijilan antarabangsa dan peningkatan daya saing.

 

Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 menyasarkan hasil tahunan RM55.2 bilion dan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

 

GE Aerospace menjadi penyewa utama dengan 40.5 hektar untuk membangunkan fasiliti MRO serantau dan pusat ujian enjin. 

 

Bagi meningkatkan keterhubungan, kerajaan Selangor mencadangkan laluan MRT baharu dari Subang ke Lembah Klang yang menghubungkan Lapangan Terbang Subang, Pelabuhan Klang, dan pelabuhan ketiga di Pulau Klang.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, taman ini menyokong usaha kerajaan Persekutuan menjadikan KLIA hab utama kargo udara dan MRO ASEAN.

 

“Setiap penghantaran bernilai tinggi dari taman ini  akan membawa potensi pemindahan kemahiran, R&D dan inovasi,” ujarnya.

 

Malaysia juga bekerjasama dengan China bagi mengukuhkan KLIA sebagai nod utama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menerusi rangka kerja Air Silk Road.

 

Dengan pegangan tanah jangka panjang, insentif fiskal dan program pembangunan bakat, Selangor Aero Park dijangka menjadi pemacu utama transformasi industri Malaysia, merangsang pelaburan, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, dan daya tahan rantaian bekalan.- DagangNews.com