Sektor utiliti dijangka pulih pada 2026 selepas tahun mencabar 2025, TNB kekal pilihan utama - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor utiliti dijangka pulih pada 2026 selepas tahun mencabar 2025, TNB kekal pilihan utama - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Jan – Selepas berdepan pelbagai cabaran operasi dan peraturan sepanjang 2025, sektor utiliti Malaysia dijangka memasuki tahun 2026 dengan prospek yang lebih stabil, meskipun penilaian semasa sektor itu dilihat tidak begitu menarik, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, isu-isu besar yang menjejaskan prestasi sektor pada 2025 termasuk pertikaian cukai Tenaga Nasional Bhd (TNB), gangguan operasi di loji Malakoff, pengurangan sumbangan pendapatan PowerSeraya oleh YTL Power serta insiden kebakaran yang melibatkan PETRONAS Gas.

 

Bagaimanapun, tiada pemangkin negatif material dijangka berlaku dalam masa terdekat, mendorong Maybank IB  mengekalkan penarafan NEUTRAL ke atas sektor utiliti.

 

"TNB kekal sebagai pilihan utama berikutan potensi peningkatan pendapatan hasil penggunaan perbelanjaan modal luar jangka (contingent capex), manakala Mega First Corporation Bhd disaran BELI berikutan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh bagi menyokong projek pertumbuhan baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB menjangkakan keuntungan bersih sektor utiliti kembali berkembang sebanyak 4% tahun ke tahun pada CY26F, selepas mencatat penurunan 13% pada CY25F.

 

Pertumbuhan itu dijangka dipacu oleh TNB melalui peningkatan pendapatan daripada perbelanjaan modal, Malakoff menerusi normalisasi operasi TBE serta Ranhill Utilities Bhd hasil kesan penuh kenaikan tarif.

 

TNB kekal sebagai saham pilihan utama dengan saranan BELI dan harga sasaran disemak kepada RM14.50, berbanding RM13.80 sebelum ini, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pemulihan sektor utiliti pada tahun hadapan.

 

Menurut firma itu lagi, dari sudut permintaan, pertumbuhan penggunaan elektrik dijangka kekal tinggi dalam beberapa tahun akan datang.

 

Namun begitu, pasaran kini lebih peka terhadap kekangan kawal selia, termasuk perlindungan sektor tenaga daripada risiko permintaan serta had kawal selia terhadap margin sektor air.

 

"Tenaga Nasional telah melunaskan sepenuhnya cukai yang dipertikaikan, sekali gus membuka ruang kepada perkembangan positif seterusnya. Sementara itu, Malakoff dijangka menyambung semula operasi loji Tanjung Bin Energy (TBE) pada awal 2026, dengan kemungkinan tuntutan insurans yang boleh menyokong pemulihan prestasi kewangannya," katanya.

 

Tahun 2026 juga menandakan permulaan tempoh kawal selia baharu selama tiga tahun bagi entiti gas terkawal.

 

Kenaikan tarif asas yang tidak dijangka dalam tempoh RP3 melibatkan bahagian saluran paip PETRONAS Gas Bhd dan Gas Malaysia Bhd bagaimanapun masih belum diperincikan, sama ada ia bersifat meningkatkan pendapatan atau sekadar mengimbangi kos operasi yang lebih tinggi.

 

Dalam pada itu, penurunan harga minyak mentah Brent pada separuh kedua 2025 dijangka memberi kesan kepada harga gas domestik pada 2026, berpotensi menekan keuntungan runcit Gas Malaysia berikutan kelewatan enam hingga tujuh bulan dalam pelarasan harga. - DagangNews.com