Sektor REIT Malaysia dijangka kukuh pada separuh kedua 2025, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor REIT Malaysia dijangka kukuh pada separuh kedua 2025, kata Maybank IB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jun - Sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2025, disokong oleh penjualan aset, kerja penambahbaikan hartanah dan pemulihan sektor pelancongan.

 

Menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), antara faktor utama yang membantu pertumbuhan itu termasuk penjualan hartanah oleh Sunway REIT bernilai RM613 juta dan Axis REIT yang menjual gudang The Annex pada harga RM24 juta.

 

Selain itu, Pavilion REIT membeli hotel bernilai RM480 juta, manakala Axis REIT membeli enam hartanah baharu, yang turut menyumbang kepada prospek positif sektor berkenaan.

 

Maybank IB berkata, kerja penambahbaikan hartanah oleh Sunway REIT dan IGB REIT dijangka meningkatkan pendapatan.

 

KLCCP dan Sunway REIT juga dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti pelancongan selepas Ramadan.

 

Maybank IB turut menjelaskan, CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) sedang meluaskan pelaburan ke sektor logistik menjelang 2026, manakala Sentral REIT pula mengurangkan fokus kepada hartanah pejabat sahaja.
 

"Al-Salam REIT sedang menjalankan strategi DISRUPT27 yang melibatkan penjualan aset dan pengubahsuaian Komtar JBCC. 

 

"Langkah ini dijangka membantu meningkatkan keuntungan dan nilai REIT dalam jangka sederhana," kata Maybank IB dalam satu laporan.

 

Jelasnya, Pavilion REIT dan CLMT merancang keluarkan saham baharu dan membeli aset baharu yang berpotensi meningkatkan pendapatan dan dividen kepada pelabur dalam tempoh sederhana.

 

Maybank IB menjangkakan, jika Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2025, REIT yang mempunyai pinjaman dengan kadar faedah terapung akan mendapat manfaat kerana kos pinjaman akan turun.

 

Namun, firma itu turut memberi amaran tentang cabaran ekonomi seperti kemungkinan cukai perkhidmatan 8% ke atas sewaan, kenaikan tarif elektrik, serta ketidaktentuan dasar seperti subsidi bahan api dan perang tarif dunia.

 

Walaupun begitu, kebanyakan REIT dijangka mengekalkan pembayaran dividen yang stabil dan masih ada ruang untuk berkembang melalui pembelian aset yang menguntungkan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran 'positif' terhadap sektor REIT berdasarkan asas yang kukuh, hasil pelaburan yang menarik dan prospek pertumbuhan pendapatan yang jelas pada suku kedua 2025.

 

Sunway REIT kekal sebagai pilihan utama Maybank IB dengan harga sasaran RM2.13, diikuti Pavilion REIT (RM1.83) dan Axis REIT (RM2.01) kerana daya tahan pendapatan dan kekuatan aset.

 

REIT berpendapatan tinggi lain yang turut disyorkan termasuk YTL Hospitality REIT (RM1.18), Sentral REIT (88 sen) dan CapitaLand Malaysia Trust (76 sen). - DagangNews.com