Sektor produk getah dikhuatiri kekal lemah disebabkan persekitaran operasi tidak stabil - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor produk getah dikhuatiri kekal lemah disebabkan persekitaran operasi tidak stabil - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Julai — Masalah persekitaran operasi yang masih lagi kurang stabil dikhuatiri menyebabkan sektor pengeluaran produk getah akan kekal dalam keadaan lemah, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan yang tidak begitu menggalakkan sebahagian besar syarikat itu juga mengakibatkan prospek sektor berkenaan dilihat sebagai amat suram pada ketika ini.

 

Tambahnya, kelemahan dikenal pasti itu berpunca daripada faktor tempoh penyatuan inventori pada suku kedua 2025 adalah lebih lama daripada jangkaan syarikat-syarikat sarung tangan getah sebelum ini.

 

"Persaingan produk ini kekal sengit di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS) disebabkan oleh strategi penetapan harga murah diguna pakai oleh pengeluar China," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Keadaan tidak menentu di luar negara itu jelas firma berkenaan, menyaksikan eksport sarung tangan getah tempatan susut sebanyak 22 peratus dan enam peratus masing-masing pada April dan Mei 2025.

 

Situasi ini katanya, menunjukkan aktiviti penyimpanan semula pelanggan kekal lembap kerana industri mengalami tempoh pasif lebih lama daripada jangkaan ekoran pemuatan hadapan pada suku keempat 2024.

 

RHB Research berkata, kelemahan berterusan kadar dolar AS berbanding ringgit sebanyak tiga peratus suku ke suku pada Jun 2025 juga menghakiskan lagi keuntungan pembuat sarung tangan di Malaysia.

 

"Kami turut menjangkakan pentauliahan kilang-kilang baharu di Indonesia dan Vietnam akan memberi ancaman kepada penjualan produk getah Malaysia kepada AS seawal November 2025," kata firma itu.

 

Justeru, cabaran berterusan dalam persekitaran kos operasi yang semakin meningkat dan penyusutan dolar AS dijangka mempengaruhi keuntungan pembuat sarung tangan untuk dapat bergerak ke hadapan.

 

Selain itu, RHB Research menilai risiko utama disebabkan hubungan semakin tegang antara AS dan China serta harga bahan mentah yang lebih rendah daripada jangkaan ketika ini juga menjejaskan industri.

 

Berdasarkan perkembangan tersebut, firma berkenaan mengekalkan penarafan 'underweight' ke atas sektor produk getah yang membabitkan lima syarikat di bawah liputannya. - DagangNews.com