KUALA LUMPUR 6 Mac - Ekonomi Malaysia terus mencatatkan perkembangan pada 2024 tetapi pada kadar yang lebih perlahan dengan kebanyakan sektor terus mencatatkan peningkatan kecuali petrokimia, permainan, pengguna, perkapalan dan pelabuhan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, pertumbuhan itu juga turut meliputi sektor sarung tangan, manakala segmen penerbangan kekal mengalami kerugian walaupun pada kadar lebih kecil.
Firma penyelidikan itu berkata, pada suku keempat 2024, pendapatan teras syarikat dalam kajian kami meningkat sebanyak 11% berbanding tahun lalu, meneruskan trend peningkatan yang kukuh selama tujuh suku tahun berturut-turut.
"Bagaimanapun, berbanding suku sebelumnya, pendapatan sedikit menurun sebanyak 0.8%. Peningkatan ini mendorong pertumbuhan keseluruhan untuk 12 bulan lepas kepada 13.5%.
"Sebahagian besar daripada pertumbuhan ini datang daripada keuntungan sekali jadi, termasuk pembalikan hutang lapuk di Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan kredit cukai di Telekom Malaysia.
"Tanpa faktor khas ini, pertumbuhan pendapatan teras pada suku keempat hanya akan meningkat sebanyak 4.2% berbanding tahun lalu, dan menurun sebanyak 6.8% berbanding suku sebelumnya. Untuk tahun 2024, pendapatan dijangka meningkat sebanyak 11.8% jika mengecualikan keuntungan sekali sahaja ini," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB menganggarkan pertumbuhan untung teras sebanyak 6.5% pada 2025 dan peningkatan 6.1% untuk KLCI, tidak termasuk dua pembalikan besar pada 2024 (kesan asas), pertumbuhan keuntungan teras akan menjadi lebih tinggi 8.1% pada tahun ini.
Untuk 2026, firma penyelidikan itu menganggarkan pertumbuhan 7.8% keuntungan teras dan 7.0% untuk KLCI.
"Kami menjangkakan semua sektor akan mencatatkan pertumbuhan pendapatan teras pada 2025 kecuali media, minyak & gas, hartanah dan utiliti," katanya.
Firma penyelidikan itu "neutral" terhadap sektor permainan berbanding "overweight" dan meramalkan pendapatan Genting menjadi lebih lemah.
"Kami mengekalkan aranan "overweight" untuk sektor bank, pembinaan, pengguna, penjagaan kesihatan, minyak dan gas (FPSO) dan teknologi manakala "underweight" untuk sektor petrokimia," katanya. - DagangNews.com








