KUALA LUMPUR 11 Julai — Sektor perladangan diramal kembali menyaksikan perkembangan positif berikutan lonjakan permintaan di pelbagai negara, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan berkenaan dapat disaksikan menerusi pertambahan eksport produk minyak sawit mentah (MSM) ke negara-negara di benua Afrika dan rantau Asia Barat.
Situasi itu tambahnya, berjaya mengimbangi penyusutan permintaan dari pasaran India dan blok Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2025 masing-masing dicatatkan merosot 14.7 peratus dan 3.1 peratus.
"Sebaliknya pada bulan tersebut, penghantaran MSM ke Afrika pula melonjak sebanyak 43.7 peratus manakala rantau Asia Barat menokok lagi 22.6 peratus," kata AmInvest dalam satu nota kajiannya.
Selain itu, firma berkenaan turut yakin dengan potensi positif pasaran China apabila masih merekodkan peningkatan import sawit dari Malaysia sebanyak 1.3 peratus sepanjang bulan tersebut.
Melangkah ke hadapan, ia menjangkakan pembelian MSM dari India akan kembali pulih apabila negara berkenaan menambah inventorinya bagi menampung keperluan minyak makan yang masih belum cukup.
Ketika ini tambah AmInvest, inventori minyak makan di pasaran India masih rendah dengan hanya berjumlah 1.3 juta tan pada 1 Jun 2025 berbanding sebanyak 2.4 juta tan setahun yang lalu.
"Kami juga membayangkan berlaku permintaan positif daripada pelbagai negara anggota EU menjelang pelaksanaan ketat peraturan kawal selia perhutanan yang baharu pada 30 Disember 2025," katanya.
Tambah firma itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengesahkan inventori negara pada Jun 2025 tidak berubah iaitu 2 juta tan walaupun eksport merosot sebanyak 10.5 peratus kepada 1.3 juta tan.
AmInvest namun percaya pengeluaran buah tandan segar akan memuncak sepanjang Ogos atau September 2025 serta menjangkakan aktiviti penuaiannya berkurangan sejajar dengan penurunan secara bermusim.
Ia mengekalkan penarafan 'neutral' pada sektor perladangan tetapi memberikan saranan 'beli' untuk Johor Plantations Group Berhad dengan harga sasaran (TP) kumpulan itu diunjur RM1.67 sesaham.
Sementara Kim Loong Resources Berhad (TP RM2.75) dan TSH Resources Berhad (TP RM1.38), manakala purata andaian harga MSM pada 2025 dijangka RM4,250 setiap tan. - DagangNews.com








