Sektor penjagaan kesihatan kekal kukuh, KPJ Healthcare antara pilihan utama - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan kekal kukuh, KPJ Healthcare antara pilihan utama - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Sept  – Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dijangka kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan pelancongan perubatan, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), serta populasi yang semakin menua, kata RHB Research.

 

Bagaimanapun firma penyelidikan itu menegaskan tekanan daripada pihak pembayar insurans dan syarikat takaful sedang mengubah landskap operasi hospital dengan penurunan kemasukan pesakit dalam, intensiti hasil yang lebih rendah dan kadar pengisian katil yang semakin suram.

 

"Kami menjangkakan operator yang mengalihkan kapasiti kepada perkhidmatan rawatan harian, ambulatori dan pembedahan dengan kecekapan kos yang lebih baik akan berada pada kedudukan terbaik untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini," kata firma itu.

 

RHB berpandangan perubahan kepada model rawatan harian boleh memberi manfaat jangka panjang kepada penyedia penjagaan kesihatan. 

 

Katanya, walaupun caj bagi prosedur rawatan harian lazimnya hanya separuh daripada kes pesakit dalam, kadar pusing ganti pesakit yang lebih tinggi, kos operasi yang lebih rendah dan kecekapan yang lebih baik membantu mengimbangi jurang hasil tersebut.

 

"Lebih penting, peralihan ini membolehkan katil pesakit dalam digunakan untuk kes pembedahan yang lebih kompleks, yang menawarkan hasil lebih tinggi berbanding kes perubatan biasa. Pendekatan ini dijangka mengekalkan peningkatan dalam intensiti hasil, walaupun pertumbuhan pesakit dalam semakin perlahan," katanya.

 

Dalam nota penyelidikan terkini, firma pelaburan mengekalkan saranan OVERWEIGHT terhadap sektor penjagaan kesihatan dan mengangkat KPJ Healthcare Berhad sebagai pilihan utama.

 

Menurut RHB, walaupun saham KPJ mengalami tekanan harga sekitar -15% dalam tempoh sebulan lalu, ia masih diniagakan pada premium 7.2% berbanding IHH Healthcare dari segi nisbah EV/EBITDA hadapan.

 

“Premium ini wajar diberikan memandangkan margin dan pulangan ekuiti (ROE) KPJ yang lebih tinggi, serta sumbangan positif daripada hospital-hospital baharu yang kini memasuki fasa operasi. 

 

"Ini memberi petunjuk kukuh kepada pertumbuhan pendapatan jangka pendek dan potensi pengembangan margin,” jelas firma berkenaan.

 

Firma itu menetapkan harga sasaran berdasarkan model diskaun aliran tunai (DCF) sebanyak RM3.05 – bersamaan 17 kali ganda EV/EBITDA bagi tahun kewangan 2026. 

 

Ini 2.7 sisihan piawai lebih tinggi daripada purata sejarah lima tahun sebanyak 12x. Penilaian itu turut mengambil kira premium ESG sebanyak 2% berdasarkan skor 3.1, berbanding median negara pada 3.0.

 

KPJ juga dilihat berada di landasan tepat untuk meningkatkan hasil melalui penyediaan perkhidmatan tersier dan kuartier, yang mampu menarik prosedur perubatan yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.

 

Di samping KPJ, RHB turut mengekalkan saranan BELI ke atas IHH Healthcare, yang menawarkan pendedahan geografi lebih meluas serta pelan pengembangan kapasiti katil sebanyak +33% menjelang 2028. 

 

"Jejak serantau yang kukuh serta permintaan berstruktur yang mampan menjadikan IHH sebagai satu lagi kaunter defensif yang menarik," kata firma itu.

 

Harga sasaran IHH ditetapkan pada RM8.00, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), bersamaan dengan 13.3 kali EV/EBITDA tahun kewangan 2026 – 0.3 sisihan piawai lebih tinggi daripada purata sejarah lima tahun.

 

Sementara itu, saranan BELI turut dikekalkan bagi saham Duopharma Biotech Berhad (DBB), yang dijangka meraih manfaat daripada surat lantikan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kontrak APPL, normalisasi harga bahan mentah farmaseutikal (API), serta penyusutan dolar Amerika yang menyokong margin keuntungan.

 

Harga sasaran DBB ditetapkan pada RM1.56, berdasarkan model DCF, bersamaan 15.5 kali P/E tahun kewangan 2026 – 0.4 sisihan piawai di bawah purata sejarah tiga tahun. Ini turut mencerminkan premium ESG sebanyak 8%.

 

"Kami menjangkakan prospek sektor penjagaan kesihatan akan terus menarik dengan sokongan daripada permintaan berstruktur yang kukuh. 

 

"Penyenaraian Sunway Healthcare Group yang dijangka pada awal 2026 juga berpotensi menjadi pemangkin kepada minat pelabur dan penilaian semula (re-rating) sektor secara keseluruhan," kata firma itu. - DagangNews.com