Sektor pengguna Malaysia dijangka catat pertumbuhan kukuh pada 2025 didorong bantuan kerajaan, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pengguna Malaysia dijangka catat pertumbuhan kukuh pada 2025 didorong bantuan kerajaan, kata Maybank IB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Feb - Sektor pengguna Malaysia akan mencatatkan prestasi kukuh pada tahun 2025, didorong oleh faktor makroekonomi yang kukuh dan pelbagai bantuan kerajaan yang dijangka dapat meningkatkan pendapatan boleh guna, memperbaiki sentimen pengguna serta keupayaan perbelanjaan.

 

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) meramalkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 15% tahun ke tahun (YoY) untuk sekumpulan saham pengguna di bawah pemantauannya (ramalan 2024: -3%), dengan Nestle Malaysia, Farm Fresh dan MR DIY dijangka mengalami perubahan positif dalam keuntungan.

 

"Antara inisiatif utama berkaitan kerajaan termasuk pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kenaikan gaji sektor awam antara 7%-15%, berkuat kuasa 1 Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari 2025," katanya.

 

Pada masa yang sama, Maybank IB menjangkakan pengeluar dan peruncit makanan dan minuman (F&B) akan mendapat manfaat paling besar daripada perubahan positif dalam corak penggunaan.

 

“Peruncit lain yang berada dalam pasaran sasaran B40 dan M40 dengan barangan mampu milik dan berharga nilai seperti MR DIY, Padini dan AEON juga dijangka mengalami peningkatan dalam jumlah jualan," ujarnya.

 

Berdasarkan trend sejarah, Maybank IB berkata, pertumbuhan jualan runcit tahunan menunjukkan pertumbuhan positif YoY pada tahun-tahun di mana kenaikan gaji minimum dilaksanakan iaitu pada 2013 dengan 7.2% dan 2016 (7.1%) kecuali 2020 (-6.1%) disebabkan oleh pandemik Covid-19.

 

"Terdapat pertumbuhan yang lebih besar pada tahun selepas kenaikan gaji minimum pada 2014 (9.9%) dan 2017 (9.5%), kecuali 2023 (-6.1%) memandangkan asas yang tinggi pada 2022 (19.2%) akibat permintaan terkumpul selepas pandemik," katanya.

 

Menurut bank tersebut, kadar pembayaran balik kad kredit juga kekal sihat, walaupun dengan tekanan terhadap belanjawan isi rumah dan kos sara hidup yang lebih tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Sejak Januari 2013, purata kredit yang diberikan per kad adalah RM15,269, mewakili 25% daripada jumlah kredit yang diberikan per kad. Kadar pembayaran tertunggak juga kekal rendah pada 0.9% dari 2013 hingga 2024.

 

"Dengan hutang jangka pendek yang relatif rendah dan kadar pembayaran balik yang baik, kami percaya, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dalam sektor makanan, minuman serta peruncitan tidak akan terhalang oleh bebanan sedia ada untuk membayar hutang," tambahnya. - DagangNews.com