KUALA LUMPUR 22 Julai — Pertumbuhan sektor pengguna diramal menjadi sederhana pada separuh kedua 2025, berikutan permulaan tahun yang kukuh dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi tersebut berlaku walaupun sektor berkenaan menyaksikan langkah lebih berwaspada di tengah-tengah prospek ekonomi makro global yang didapati tidak menentu.
Tambahnya, hasil daripada asas perolehan bertumpu domestik manakala prospek sentimen pengguna yang lemah dan peningkatan perbelanjaan pengurusan (opex) akan mengehadkan lagi pertumbuhan pendapatan.
"Kami secara strategik menyokong peruncit bermodal besar cair dengan keterlihatan hasil lebih baik, disokong oleh operasi dan kecekapan yang unggul," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.
Ia meramalkan sentimen pengguna kekal lemah, dipengaruhi oleh tekanan inflasi lebih tinggi serta prospek ekonomi dan pendapatan tidak menentu yang berpunca daripada ketegangan perdagangan global.
Pengguna yang serik dengan inflasi akan berbelanja secara selektif, dengan mengutamakan pembelian penting dan memburu nilai murah, yang mengehadkan perbelanjaan mengikut pertimbangan budi bicara.
RHB Research turut menggemari jenama bermodal besar seperti MR DIY Group (M) Bhd dan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd kerana keupayaan meraih perbelanjaan pengguna dan penilaian secara munasabah.
Selain itu, Farm Fresh Bhd kerana dilihat menembusi banyak segmen dalam industri tenusu dan memihak kepada Guan Chong Bhd kerana prospek pendapatannya cemerlang, disokong jualan hadapan yang tinggi.
"Kami juga memberi penilaian positif kepada Focus Point Holdings Bhd, dipacu momentum jualan optik yang teguh dengan peningkatan populasi rabun dan usaha pemasaran yang proaktif," kata firma itu.
Mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST), RHB Research berkata, ia tidak mengira syarikat akan dapat menanggung kos tambahan itu memandangkan keanjalan permintaan dan peraturan antipencatutan.
Justeru, ia berpendapat bahawa aliran margin syarikat boleh berubah menjadi lemah, terutamanya bagi peruncit besar seperti Aeon Co (M) Bhd, Padini Holdings Bhd, Mynews Holdings Bhd dan Focus Point.
Bagaimanapun katanya, kesan itu boleh diimbangi menerusi peningkatan kecekapan tetapi keadaan akan lebih menguntungkan bagi pengeluar seperti Nestle Malaysia Bhd, Farm Fresh dan Power Root Bhd.
Keadaan tersebut menurut RHB Research, disebabkan faktor penurunan harga komoditi dan pengukuhan nilai ringgit di pasaran semasa yang sepatutnya diterjemahkan kepada prospek margin lebih baik.
"Kami percaya mereka boleh mengurangkan inflasi opex dengan lebih baik disebabkan bahagian pasaran dominan, skala operasi secara besar-besaran dan ekuiti jenama yang amat mantap," katanya lagi.
Risiko dijangka pula ialah kelembapan besar dalam pertumbuhan ekonomi dan lonjakan mendadak harga komoditi dengan ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor pengguna. - DagangNews.com








