Sektor pembuatan diramal berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan global - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan diramal berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan global - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Sektor pembuatan diramal berdepan tekanan dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan berterusan terhadap dasar perdagangan global dan kos input tinggi yang menjejaskan momentum pengeluaran.

 

Walaupun Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia yang diselaraskan S&P Global mengikut musim, meningkat kepada 48.8 pada Mei 2025 berbanding 48.6 pada bulan sebelumnya, peningkatan itu adalah sederhana dan masih di bawah ambang neutral 50 — menunjukkan aktiviti keseluruhan masih berada dalam zon penguncupan.

 

TA Securities berkata, prospek sektor itu dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk kelemahan berterusan dalam permintaan global, terutamanya dari ekonomi maju.

 

“Tanpa pemulihan dalam permintaan global, pengeluaran industri dan prestasi perdagangan Malaysia mungkin terus menghadapi tekanan luaran, terutama apabila kesan sementara daripada tempahan yang dibuat awal mula berkurangan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.1% pada suku pertama 2025, dan pertumbuhan suku kedua dijangka kekal dalam julat yang sama.

 

Bagaimanapun, purata PMI bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 berada pada paras 48.9, sedikit lebih rendah daripada 49 yang dicatatkan dalam empat bulan pertama, menunjukkan tekanan yang berterusan namun sederhana dalam sektor tersebut.

 

Katanya, PMI bagi Jun 2025 turut dianggap sebagai petunjuk penting.

 

“Bacaan PMI bagi Jun 2025 akan menjadi penentu, kerana sebarang perubahan ketara boleh mempengaruhi halatuju penunjuk rasmi,” kata TA Securities.

 

Sentimen dalam sektor pembuatan kekal secara amnya positif pada Mei 2025, dengan firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang tetapi keyakinan keseluruhan merosot ke paras terendah sejak Jun 2021.

 

“Jangkaan terhadap keadaan permintaan yang lebih baik menyokong unjuran pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

“Namun, keyakinan keseluruhan merosot ke paras terendah sejak Jun 2021, mencerminkan ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan kekurangan tenaga kerja mahir yang berterusan, yang terus menekan prospek jangka pendek,” katanya.- DagangNews.com