KUALA LUMPUR 7 Julai — Sektor pembuatan negara menunjukkan tanda-tanda stabil selanjutnya pada Jun 2025, dengan didorong keadaan operasi bertambah baik secara sederhana, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu dapat dilihat berdasarkan pelbagai petunjuk utama pengeluaran produk, tempahan baharu dan pekerjaan mencatatkan penguncupan perlahan.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) menokok kepada 49.3 pada Jun 2025 berbanding 48.8 pada Mei 2025, bacaan tertinggi sejak Februari 2025 walaupun kurang ambang 50 mata yang menandakan pengembangan.
"Ini menggambarkan penguncupan untuk bulan ke-13 berturut-turut, meskipun pada kadar yang lebih perlahan, dan menunjukkan pemulihan beransur-ansur," kata MIDF Research dalam satu nota kajiannya.
Penyederhanaan itu tambahnya, dianggap penurunan paling perlahan dalam empat bulan iaitu aliran ke arah penstabilan, disokong oleh permintaan domestik lebih kukuh dan penurunan jualan luar negara.
Penyusutan eksport katanya, adalah yang terkecil sejak aliran menurun semasa bermula pada Disember 2023 selain ia faktor guna tenaga didapati meningkat buat kali pertama dalam tempoh sembilan bulan.
MIDF Research berkata, pada masa yang sama, aktiviti pembelian merosot untuk bulan ke-34 berturut-turut, disebabkan isu penyimpanan semula inventori susulan ketidaktentuan kos dan permintaan.
"Inventori input kekal tidak berubah, menunjukkan bahawa pengeluar tidak secara agresif membina atau mengeluarkan stok simpanan semasa mereka mengemudi dinamik permintaan yang rapuh," katanya.
Tekanan kos input bertambah hebat, didorong oleh kenaikan harga bahan mentah dan pergerakan kadar pertukaran mata wang asing, mengakibatkan kenaikan harga input paling pantas sejak November 2024.
Sebagai tindak balas, pengeluar menaikkan harga jualan buat kali pertama dalam tempoh enam bulan dan pada kadar paling curam sejak Ogos 2024 sambil berusaha untuk melindungi margin hasil mereka.
Keyakinan perniagaan meningkat berdasarkan jangkaan pelancaran produk baharu, walaupun sentimen kekal di bawah purata, mencerminkan kebimbangan situasi makroekonomi global. - DagangNews.com








