KUALA LUMPUR 7 Julai — Malaysia berpotensi besar dalam mengukuhkan kedudukan sebagai hab pusat data (DC) pilihan utama di rantau Asia Tenggara, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut berdasarkan peluang sektor pembinaan yang dikaitkan dengan DC dan dianggarkan bernilai sehingga RM180 bilion dalam tempoh beberapa tahun.
Pelaburan DC katanya, kekal positif dipacu ketersediaan tanah yang luas di Malaysia, daya saing kos serta penggunaan pantas berbanding dengan rakan serantau seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.
"Malaysia bukan lagi sekadar pasaran limpahan dari Singapura tetapi merupakan destinasi utama untuk pengusaha skala besar," kata HLIB Research dalam nota Siri Fokus Stratum Bursa Malaysia-HLIB ke-19.
Ia merujuk kejayaan senarai projek DC berkapasiti 6.4 gigawatt dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta unjuran kos pembinaan dan kejuruteraan sebanyak mencecah RM40 juta setiap megawatt.
Secara keseluruhan, potensi fasiliti tersebut boleh menjana nilai kontrak bernilai RM120 bilion hingga RM180 bilion iaitu empat hingga enam kali lebih besar daripada jumlah kontrak projek lain.
Pada suku pertama 2025 sahaja, Malaysia meluluskan sebanyak RM90 bilion dalam pelaburan dengan RM35 bilion daripada jumlah itu merupakan subsektor maklumat dan komunikasi, yang adalah berkaitan DC.
HLIB Research berkata, kebanyakan pengendali DC duduk di atas bank tanah yang belum dibangunkan lagi, cukup untuk menyokong pembinaan berperingkat dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Keadaan itu tambah firma berkenaan, menunjukkan pasaran tempatan sebenarnya sedang memasuki fasa penyatuan, bukan kelembapan dalam aktiviti pembinaan serta menyokong lonjakan yang dijangkakan,
Ia menjangkakan tumpuan lebih kepada peningkatan infrastruktur tenaga dan air, terutamanya apabila DC generasi akan datang mengguna pakai kecerdasan buatan dan beban kerja pengkomputeran kuantum.
"Beban kerja yang lebih baharu ini memerlukan kuasa empat kali lebih besar dan sistem penyejukan khusus. Maka, pelancaran infrastruktur yang tepat pada masanya akan menjadi kritikal," katanya.
Tambah HLIB Research, antara syarikat yang dijangka memperoleh manfaat besar daripada ledakan pembinaan banyak DC itu ialah IJM Corp Berhad, MN Holdings Berhad dan Master Tec Group Berhad.
IJM, memiliki tiga tender DC di Johor pada tahun ini, namun dilihat ketinggalan setelah mencapai kemajuan dengan beberapa pemain antarabangsa yang ingin mengembangkan infrastruktur di Malaysia.
MN Holdings berpeluang meraih keuntungan usaha TNB melancarkan 500 kilovolt (kV) pencawang DC di Johor dengan 90 peratus daripada RM1.1 bilion buku tempahan terdiri kerja kejuruteraan pencawang.
Kumpulan pembinaan tersebut juga katanya, menyaksikan permintaan kukuh untuk kerja penghantaran voltan tinggi, terutamanya dalam segmen berkapasiti 275kV, yang menawarkan margin lebih baik.
"Sementara itu, Master Tec, sedang berkembang ke dalam pengeluaran dan perdagangan kabel voltan tinggi untuk memenuhi permintaan daripada projek DC dan infrastruktur penghantaran TNB," katanya.
Syarikat itu, baru-baru ini menambah kapasiti voltan sederhana baharu dan menyasarkan kemasukan ke segmen 33kV dan 275kV untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran infrastruktur tenaga di Malaysia.
HLIB Research juga mengenal pasti TNB, YTL Power International Bhd, Solarvest Holdings Bhd, Southern Cable Group Bhd, SMRT Holdings Bhd, Gamuda Bhd dan Telekom Malaysia Bhd sebagai penerima utama DC di bawah liputannya. - DagangNews.com








